Skandal jenayah acapkali mencuri perhatian masyarakat. Tidak kira kes tersebut berprofil tinggi mahu pun orang awam.

Namun, dalam kebanyakan kes jenayah, ada antaranya yang masih kekal misteri dan belum gagal dibongkar hingga kini.

Berikut kami paparkan kes pembunuhan misteri yang masih membekas dalam hati rakyat Malaysia.

1. Mona Fandey

Kes tersebut telah selesai. Pembunuh telah dihukum mati. Kes ditutup. Bagaimanapun, apa yang terjadi di sekeliling dan keanehan pembunuh kes ini menyebabkan ia masih tersenarai dalam carta ini.

Pada 22 Julai 1993, polis menemui mayat ADUN Batu Talam, Mazlan Idris yang dicincang. Bekas penyanyi yang kemudian bertukar menjadi bomoh, Mona Fandey ditahan bersama suami dan pembantu beliau. Ketiga-tiga mereka didapati bersalah dan dihukum gantung sampai mati. Hukuman mati tetap dilaksanakan walaupun terdapat rayuan.



Tiada siapa yang hidup pada era 90-an boleh melupakan perbicaraan Mona Fandey – Mazlan Idris. Mayatnya telah dicincang kepada beberapa bahagian selepas berlangsungnya satu upacara ghaib dipercayai bertujuan untuk membawa lebih banyak wang untuknya.

Mayat Mazlan kemudian ditanam di stor berhampiran rumahnya di Pahang. Apa yang dianggap sebagai ‘belum selesai’ ialah ketika kekejaman mereka itu dibawa ke muka pengadilan. Sepanjang perbicaraan, Mona sentiasa berkata “Aku takkan mati” dan kekal tenang dengan senyuman di bibirnya.

2. Norita Samsuddin

Norita Samsuddin, 22, merupakan seorang anak gadis yang berasal dari negeri utara tanah air yang mencuba nasib di kota raya, Kuala Lumpur.

Mempunyai sosok tubuh yang menarik, dia dikatakan menerima beberapa tawaran sebagai peragawati namun menolaknya apabila dia ketika itu bekerja sebagai eksekutif pemasaran di Transpro Sdn. Bhd. sebelum dia dijumpai mati.

5 Disember 2003, Norita dijumpai mati di dalam bilik di sebuah pangsapuri mewah di Sri Hartamas, Kuala Lumpur. Mangsa dijumpai dalam keadaan berbogel dan tangannya diikat menggunakan baju dalam dan beberapa wayar. Tiada sebarang tanda dia dicederakan kecuali kesan cekik di lehernya dan beberapa cebisan baju di dalam mulutnya. Jurutera, Hanif Basri kemudiannya ditahan dan dituduh membunuh mangsa.



Hanif dipercayai orang terakhir yang menjumpai Norita pada malam tersebut dan pihak pendakwaan cuba membuktikan dia adalah orang terakhir menjumpai mangsa ketika mangsa masih hidup. Bagaimanapun, semasa perbicaraan berlangsung, dipercayai ada orang lain telah melawat Norita selepas Hanif.

Pertuduhan terhadap Hanif dilihat terlalu lemah. Hanif dibebaskan selepas timbulnya teori konspirasi berkaitan kehidupan sosial Norita selama ini. Mungkin segala yang benar telah dikuburkan bersama Norita.

3. Nurin Jazlin Jazimin

20 Ogos 2007, Nurin Jazlin Jazimin, 8, menuju ke sebuah pasaraya berdekatan rumahnya untuk membeli klip rambut sebelum dia dilaporkan hilang. Saksi kejadian berkata dia diculik dan dibawa masuk ke dalam sebuah van berwarna putih di Wangsa Maju.

Kehilangan gadis itu mendapat liputan media yang luar biasa hinggakan nama dan mukanya boleh dikatakan tersemat di fikiran setiap rakyat Malaysia pada ketika itu.



Ratapan sedih keluarga yang mengharapkan dia pulang ke pangkuan keluarga telah menyentuh hati ramai pihak di mana rakyat Malaysia terus memanjatkan doa supaya dia pulang dengan selamat.

Sebulan selepas itu, seorang kanak-kanak dijumpai mati dalam keadaan berbogel di dalam sebuah beg gim di Petaling Jaya. Rakaman kamera litar tertutup (CCTV) telah memberi sedikit sebanyak maklumat berkenaan suspek yang membuang beg tersebut. Keluarga Nurin gagal untuk membuat pengecaman mayat akibat kecederaan teruk yang dialami mangsa.

Namun, ujian DNA mengesahkan mayat tersebut adalah Nurin. Seorang wanita Indonesia kemudiannya ditahan berkenaan kes tersebut tetapi kes itu masih belum diselesaikan.

4. Mana Hilangnya Sharlinie?

Berita tentang kehilangan kanak-kanak menjadi berita utama di media tempatan suatu ketika dahulu. Bagaimanapun, kisah kematian Sharlinie Mohd Nashar berlegar dalam tempoh panjang sebelum menjadi suram.

Pada 9 Januari 2008, Sharlinie, 5, bermain di taman permainan di kawasan rumahnya di Taman Medan, Petaling Jaya bersama kakaknya sebelum dia didapati hilang. Masyarakat mula memandang serius laporan tersebut apabila wujud watak ‘lelaki kucing’ setelah suspek dikatakan meminta mangsa mencari kucingnya yang hilang.



Kehilangan Sharlinie terus menjadi isu hangat dalam media tempatan apabila kes itu timbul ketika kes kehilangan Nurin Jazlin Jazimin masih lagi panas. Polis yang meneruskan siasatan dilihat semakin ‘dingin’ dan kehilangannya masih lagi tidak diketahui hingga ke hari ini.

5. Tragedi Pembunuhan Ketua Polis Negara

Tan Sri Abdul Rahman Hashim telah dilantik sebagai Ketua Polis Negara ke-3. Pada 7 Jun 1974, ketika Abdul Rahman berada di dalam kereta menuju ke Bukit Aman, kereta yang dipandu Sarjan Omar Yunus yang melalui Jalan Tun Perak telah dihujani beberapa das tembakan. Dua penyerang yang tidak dikenali telah melepaskan 11 das tembakan pada kereta tersebut di mana tujuh das terkena KPN.



Pada masa itu, Malaysia sedang berusaha menentang kebangkitan kuasa subversif yang datang dari kalangan ahli komunis. Dipercayai bahawa pemimpin Parti Komunis Malaya, Chin Peng yang mengeluarkan arahan bunuh. Bagaimanapun, ia tidak berjaya dibuktikan di mahkamah.

Pada 1975, dua orang lelaki, Lim Woon Choong dan Ng Foo Nam didapati bersalah membunuh Ketua Polis Perak Tan Sri Khoo Choong Khong di Jalan Ashby di Ipoh. Kemudian timbul teori bahawa berkemungkinan penyerang tersebut adalah orang yang sama menyerang Abdul Rahman walaupun tiada bukti kukuh.

Lim dan Ng telah dihukum mati pada tahun 1978 di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA). Sehingga hari ini, masih tidak diketahui adakah benar mereka berdua pembunuh upahan yang membunuh Abdul Rahman.

***

Filem yang berkisahkan kejadian pembunuhan misteri lakonan Zul Ariffin dan Elizabeth Tan bakal ditayangkan tidak lama lagi.

Berjudul Misteri Dilaila, filem ini mengisahkan pasangan suami isteri, Jefri (Zul Ariffin) dan Dilaila (Elizabeth) bercuti di sebuah banglo di Bukit Fraser.

Malam pertama disana, Jefri diganggu dengan kejadian aneh. Keesokannya, Jefri mendapati Isterinya hilang.

Imam Aziz (Namron) muncul dengan berita gembira. Dia memberitahu, isterinya sudah ditemui dalam keadaan selamat. Jefri bagaimanapun terkejut wanita yang muncul bersama Imam Aziz bukan isterinya.

Wanita itu mengakui dirinya Dilaila. Persoalan mula bermain di fikiran, siapa betul dan salah dalam situasi berkenaan. Mampukah Jefri merungkai misteri kehilangan isterinya.

Jangan lupa saksikan filem hebat ini yang mendapat sentuhan sutradara terkenal, Syafiq Yusof di pawagam seluruh negara bermula 21 Februari 2019!


Sumber: Mynewshub, Sozcyili