Selepas finalis Top 20 Anugerah MeleTOP Era 2019 (AME 2019) diumumkan malam tadi, ramai pihak mewujudkan pertikaian mengapa anak kepada penyanyi tersohor Datuk Seri Siti Nurhaliza, Siti Aafiyah tidak tercalon dalam kategori Si Cilik MeleTOP.

Menerusi sidang media AME 2019 yang diadakan malam tadi, pihak penganjur menjelaskan yang Siti Aafiyah tidak tercalon kerana tidak memenuhi beberapa kriteria.

"Ada beberapa ciri-ciri yang disenaraikan sebelum Top 20 dipilih. Untuk kategori terbabit, ia dinilai menerusi platform media sosial si cilik tersebut.

"Tak adil jika si cilik mahu dinilai menerusi platform media sosial Instagram ibu atau bapanya. Jika si cilik itu tidak mempunyai media sosial sendiri, ia tak boleh dimasukkan ke dalam senarai Top 20," kata Marissa Hanafi selaku Penolong Naib Presiden Segmen Kanak-Kanak & Remaja Astro.

Undian fasa pertama mula dibuka mulai 12 Februari 2019 hingga 8 Mac 2019, jam 6 petang untuk anda menentukan lima calon terbaik daripada 20 pencalonan awal.

Undian boleh dibuat secara online di dua buah platform iaitu di laman web rasmi AME 2019 iaitu www.anugerahmeletopera.com.my dan portal rasmi ERA.

AME 2019 akan disiarkan secara langsung dari Axiata Arena, Bukit Jalil pada hari Ahad, 21 April 2019.

Sebanyak 16 kategori dipertandingkan untuk AME kali ini antaranya Lagu Meletop, Penyanyi Meletop, Group / Duo Meletop, Hos Meletop, Drama Meletop, Pelakon Meletop, Program Meletop, Program Radio Meletop, Penyampai Radio Meletop, Artis Baharu Meletop, Artis Lawak Meletop, Couple Meletop, Fesyen Meletop, Si Cilik Meletop, Filem Meletop dan Bintang Filem Meletop.