Pelakon Eyra Hazali membuat keputusan untuk berhijab sejak Isnin lalu selepas selesai menunaikan solat subuh.

Menurut Eyra, dia sudah lama memikirkan perkara itu dan kini keputusan yang dibuatnya adalah muktamad.

"Sebenarnya saya dah memikirkan perkara ini sejak tahun lepas, saya selalu berzikir dan berdoa memohon petunjuk dari Allah.

"Tambahan lagi, saya ada baca sepotong ayat yang berbunyi, selangkah kita keluar rumah tak tutup aurat, selangkah kita tarik ayah kita ke neraka.

"Dari ayat itu, keinginan saya untuk bertudung semakin bertambah, saya dah fikir masak-masak," ujar Eyra.

Eyra berkata demikian ketika ditemui di Sidang Media Anugerah Meletop Era 2019 (AME2019) bertempat di Astro, Bukit Jalil malam tadi.

Acara itu mengumumkan Top 20 untuk 16 kategori yang bakal dipertandingkan untuk AME 2019 yang bakal berlangsung tidak lama lagi.