Belum pun lagi filem Misteri Dilaila ditayangkan, sudah ada permintaan daripada peminat di Indonesia.

Menerusi video di sebalik tabir filem Misteri Dilaila yang baru dimuat naik di YouTube Astro Shaw semalam, ramai yang menaruhkan keyakinan untuk kejayaan filem tersebut.

"Success for #misteridilaila... Harap-harap box office kerna baik pelakon maupun unsur pembuat film bagus.

"Saya berharap boleh main di pawagam Indonesia ... #harapsangat," tulis pengguna yang dikenali sebagai @satila di ruangan komen.

Menjelang 10 hari tayangan, difahamkan Misteri Dilaila akan ditayangkan di lebih 100 buah pawagam di tiga negara; Malaysia, Singapura dan Brunei.

Misteri Dilaila mengisahkan pasangan suami isteri, Jefri (Zul Ariffin) dan Dilaila (Elizabeth) bercuti di sebuah banglo di Bukit Fraser.

Malam pertama disana, Jefri diganggu dengan kejadian aneh. Keesokannya, Jefri mendapati Isterinya hilang.

Imam Aziz (Namron) muncul dengan berita gembira. Dia memberitahu, isterinya sudah ditemui dalam keadaan selamat. Jefri bagaimanapun terkejut wanita yang muncul bersama Imam Aziz bukan isterinya.

Wanita itu mengakui dirinya Dilaila. Persoalan mula bermain di fikiran, siapa betul dan salah dalam situasi berkenaan. Mampukah Jefri merungkai misteri kehilangan isterinya.

Jangan lupa saksikan filem hebat ini yang mendapat sentuhan sutradara terkenal, Syafiq Yusof di pawagam seluruh negara bermula 21 Februari 2019!