Naskah berunsur seram sememangnya mendapat tempat istimewa di hati rakyat Malaysia yang menggemarinya.

Lihat sahaja sambutan peminat drama dan filem tempatan, apabila naskah ‘misteri’ yang digarap dengan baik ditayangkan di pawagam dan kaca televisyen, pastinya ia menjadi buah mulut orang ramai.

Gempak menghimpunkan lima naskah seram menggunakan tajuk ‘Misteri’ yang mendapat perhatian ramai:

Misteri Rumah Tua (1987)

Filem arahan Lilik Sudijo ini memang menyeramkan! Jika soalan filem seram manakah yang paling diingati oleh mereka yang membesar pada akhir tahun 80-an, pasti filem ini menjadi jawapan mereka! Dilakonkan oleh Noorkumalasari, Tonny Hidayat dan Rani Soraya, siapa boleh lupa dengan adegan hantu kepala melayang dan juga melahirkan anak dari mulut!

Di Ambang Misteri (2004)

Filem arahan Silver Chung ini menampilkan tema seram thriller. Membariskan pelakon seperti Elaine Daly, Tony Yusof, Zamarul Hisham dan Raja Azrey, filem ini mengisahkan kejadian aneh yang berlaku di sebuah pulau yang dikatakan berpuaka. Filem ini juga melayakkan Zamarul meraih trofi Pelakon Lelaki Terbaik Festival Filem Malaysia ke-18 pada tahun 2005.

Misteri Jalan Lama (2011)

Filem arahan Datuk Afdlin Shauki ini menampilkan kelainan kerana ia bertemakan fantasi dan menyelitkan unsur seram. Sentuhan Afdlin mendapat pujian ramai kerana ia dilihat berjaya lari daripada tema kebiasaan filem Malaysia. Filem ini membariskan Datuk Hans Isaac, Que Haidar, Datuk Ahmad Tamimi Siregar, Vanidah Imran dan ramai lagi.

Misteri Wan Peah (2017)

Drama bersiri yang diterbitkan oleh syarikat milik pasangan Azman Yahya dan Sheila Rusly ini mendapat perhatian ramai ketika ditayangkan kerana menampilkan unsur komedi dan seram. Menampilkan pelakon seperti Normah Damanhuri, Sasqia Dahuri, Farhanna Qismina dan ramai lagi, Misteri Wan Peah mencatatkan sejarah tersendiri apabila ia berjaya meraih 10 juta tontonan.

Misteri Dilaila (2019)

Bakal ditayangkan pada 21 Februari 2019, filem ini mendapat sentuhan pengarah tersohor Syafiq Yusof. Berdasarkan trailer yang mula dikeluarkan pada 16 Januari lalu, penonton sudah tidak sabar untuk menantikan kemunculan filem ini!

Misteri Dilaila mengisahkan pasangan suami isteri, Jefri (Zul Ariffin) dan Dilaila (Elizabeth Tan) yang bercuti di sebuah banglo di Bukit Fraser.

BOOM!!!???? [ #MisteriDilaila : 21.02.19 ] Bila mata tak memerhati..Persepsi menjadi ganti….#MisteriDilaila di pawagam 2 MINGGU lagi. #MisteriDilaila bakal terungkai di pawagam mulai 21 FEBRUARI 2019 #misteridilaila #inibukanisterisaya #imyourwife #imsorrysayang #AstroShaw #SkopProductions

A post shared by zul_ariffin (@zul_ariffin) on


Malam pertama disana, Jefri diganggu dengan kejadian aneh yang menakutkan. Keesokan harinya, Jefri mendapati isterinya sudah hilang.

Imam Aziz (Namron) pula muncul dengan berita gembira. Dia memberitahu, isterinya sudah ditemui dalam keadaan selamat.

Jefri bagaimanapun terkejut wanita yang muncul bersama Imam Aziz bukan isterinya (Sasqia Dahuri). Wanita itu mengakui dirinya adalah Dilaila.

Persoalan mula bermain di fikiran, siapa betul dan salah dalam situasi berkenaan. Mampukah Jefri merungkai misteri kehilangan isterinya?

Bagaimana kesudahannya? Saksikan Misteri Dilaila di pawagam bermula 21 Februari ini!


Kredit foto: Tokopedia, BH Online