Pelakon Datin Niena Baharun bakal kembali memeriahkan dunia lakonan apabila tiba masa yang sesuai.

Baru sahaja melahirkan anak sulung, Adiel Mikael pada 24 Oktober tahun lalu, Niena mahu memberikan lebih tumpuan kepada anaknya terlebih dahulu.

"Setakat ini, anak saya masih kecil lagi dan selalu mahu melekat sahaja dengan saya.

"Saya berikan dahulu masa untuk anak membesar, barulah saya yakin untuk kembali ke set penggambaran.

"Saya ada mendapat beberapa tawaran tetapi semuanya ditolak kerana belum bersedia," kata Niena.

Terkenal dengan watak antagonis bernama Husna, Niena yang berkahwin dengan Datuk Alif Firdaus ini juga menguruskan anaknya sendiri.

"Saya menguruskan anak sendiri. Walaupun ada seorang pembantu, tetapi dia hanya membantu sedikit sahaja. Saya lebih selesa menguruskan semuanya sendiri.

"Rugi rasanya jika saya tak dapat melihat anak saya membesar di hadapan mata. Saya tak ralat apabila terpaksa berehat berlakon kerana semuanya dilakukan demi anak tersayang," katanya lagi.

Niena ditemui di majlis pelancaran Parisfairies Scarves di Greenhouse by Muir, Jalan Ampang, Kuala Lumpur baru-baru ini.

Selain Niena, majlis pelancaran Parisfairies Scarves itu turut diserikan dengan kehadiran pelakon Tasha Shilla, pengacara Liza Khairudin dan pengasas Parisfairies Scarves sendiri, Eiyla Fazzila.