Mengimbas apa yang terjadi di arena seni dua atau tiga tahun lalu, nama pelakon cantik Tasha Shilla tidak lekang dengan kontroversi.

Ada sahaja cerita panas dan isu sensasi menjadi bualan ramai yang melibatkan nama aktres ini.

Namun begitu, semenjak kebelakangan ini, nama Tasha sepi dari sebarang kontroversi.

Bertemu dengan aktres itu di majlis pelancaran Parisfairies Scarves di Greenhouse by Muir, Jalan Ampang, Kuala Lumpur baru-baru ini, Tasha atau nama sebenarnya, Natasha Sheila Abdul Razak lebih tenang menjalani kehidupan seharian.

"Alhamdulillah, kehidupan berjalan seperti biasa. Saya sibuk dengan kerja dan jika ada masa terluang, saya habiskan bersama keluarga dan sering berehat di rumah.

"Saya akui, saya tenang tanpa kontroversi. Saya banyak belajar dari apa yang berlaku dulu dan kini saya lebih matang dan menghargai kehidupan.

"Saya masih giat berlakon tetapi mungkin orang sudah lama tak perasan kerana saya lebih fokus untuk menjayakan satu projek dalam satu masa," kata Tasha.

Tambah aktres ini, dia bersyukur kerana pernah berhadapan dengan kontroversi satu masa dahulu.

"Saya sendiri takut untuk beri jaminan nama saya tidak akan dikaitkan lagi dengan kontroversi lagi di masa akan datang, tetapi saya rasakan saya sudah selesa menjalani kehidupan sebegini.

"Pengalaman mematangkan saya. Pelbagai kontroversi sudah saya tempuhi. Apa yang terjadi membuatkan saya rasa lebih bersyukur. Kini, saya semakin kuat dan banyak belajar dari kesilapan lalu," katanya lagi.

Selain Tasha, majlis pelancaran Parisfairies Scarves itu turut diserikan dengan kehadiran pelakon Niena Baharun, pengacara Liza Khairudin dan pengasas Parisfairies Scarves sendiri, Eiyla Fazzila.