Penyanyi dan komposer Hael Husaini tidak menjangka lagu duetnya bersama Dayang Nurfaizah, Haram berjaya meraih gelaran pemenang di Anugerah Juara Lagu 33 (AJL 33) yang berlangsung pada Ahad.

Merupakan ciptaan sepenuhnya oleh Hael bersama Ezra Kong, Haram mencipta kejutan dengan menewaskan 11 finalis AJL 33.

"Sejujurnya, saya tak fikirkan langsung dapat meraih sebarang tempat kerana saya hanya memberikan fokus untuk membuat persembahan terbaik untuk peminat.

"Kami merupakan peserta akhir yang membuat persembahan. Saya sempat berfikir dan berbual dengan Dayang, lepas habis persembahan, nak makan di mana kerana lapar," seloroh Hael.

Mengekalkan kejuaraan tahun lalu, Hael tidak meletakkan harapan tinggi kerana merasakan lagu Sampai Bila nyanyian Misha Omar bakal menggondol kejuaraan.

"Saya tak sangka menang kerana saya merasakan lagu Sampai Bila bakal bergelar juara. Lagu tersebut sangat baik dan dicipta oleh Sharon Paul bersama lirik oleh Ahmad Fedtri Yahya bersama Shah Shamshiri.

"Akhirnya, rezeki berpihak kepada kami. Syukur Alhamdulillah... Saya berterima kasih kepada Dayang kerana sudi untuk berkolaborasi bersama kami. Saya dan Ezra juga menjadikan perkara ini sebagai pemangkin untuk kami berusaha dengan lebih kuat, Insya-Allah," kata Hael.

Menerusi kejuaraan tersebut, Ezra, Hael dan Dayang berjaya membawa pulang hadiah berupa wang tunai berjumlah RM50,000 bersama trofi.