Selepas membuat rampasan tudung tiruan jenama Naelofar Hijab bersama Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) baru-baru ini, Neelofa bakal melakukan perkara sama di Vietnam pula.

Neelofa atau nama sebenarnya Noor Neelofa Mohd Noor berkata, pihak Naelofar Hijab sudah mendaftar hak cipta di negara tersebut dan sedang menunggu proses tersebut selesai.

“Saya sudah mendaftar hak cipta di sana (Vietnam). Sedikit masa lagi prosesnya selesai dan ‘team’ kami akan melakukan rampasan di sana pula.

“Bagaimanapun kami tidak akan gempur peniaga, sebaliknya kami akan terus ke kilang yang mengeluarkan tudung tiruan Naelofar Hijab,” katanya ketika ditemui Astro Gempak baru-baru ini.

Menurut Naelofar lagi, ia sedih kerana ramai pelanggan tertipu dengan tudung yang mereka beli kerana selain tidak berkualiti harganya juga mahal.

“Mereka menjual barangan tiruan ini kebanyakannya meletakkan harga yang sama atau lebih kurang sama. Mungkin beza tidak kurang RM10.

“Harga yang kami tetapkan memang berpatutan tidak melebihi RM100.

“Di sini mangsanya pengguna sebab permintaaan dan pengeluaran kami tidak pernah putus. Apa yang kami kesal, pengguna tertipu dengan harga mahal,” katanya.

Tambah Neelofa, pengeluaran tudung tiruan yang berlegar di pasaran tidak menjejaskan perniagaan Naelofar Hijab sebaliknya kepada pengguna.

“Tiada istilah kerugian sebab setakat setahun lebih beroperasi permintaan pengeluaran meningkat dari masa ke semasa, termasuklah raya ini pun pengeluaran kami berbeza daripada tahun lepas.

“Mereka yang terkesan, lebih kepada pengguna dan mereka yang menjual,” katanya.

Dalam pada itu, Neelofa turut menegaskan supaya berhenti menjalankan perniagaan haram dan sentiasa membuka pintu kepada sesiapa sahaja yang ingin menjadi rakan niaga produk mereka.

“Bukan kami mahu menyerbu peniaga Melayu tetapi kami tidak mahu kegiatan menipu makan duit secara haram ini berleluasa sebab ia kegiatan menipu.

“Harapan kami selepas ini berhentilah menjual secara haram, jadilah stokis halal. Kami akan datang untuk melindungi pengguna tertipu.

“Kalau betul hendak berniaga, jadilah stokis kami. Jangan jual secara haram. Boleh mohon jual dengan betul,” ujarnya.

Tahun lalu, Naelofar Hijab mengaut keuntungan berlipat kali ganda selepas membuat jualan sebanyak RM50 juta.

Sebanyak 79 unit tudung palsu jenama Naelofar Hijab dirampas dalam serbuan yang dilakukan di Gombak dan Kajang pada 28 Mac lalu.

Nilai rampasan dianggarkan lebih RM7,000.