Kumpulan Zero menafikan dakwaan melanggar kontrak sebuah syarikat penerbitan filem selepas menjuarai program Maharaja Lawak Mega 2014 (MLM 2014) tahun lalu.

Menurut salah seorang anggota kumpulan Zero iaitu Atu atau nama sebenarnya Sharid Kunal Doli Sharif, mereka tidak pernah menandatangani sebarang kontrak untuk membintangi sebuah filem terbitan syarikat tersebut.

“Kami tidak menandatangani apa-apa kontrak persetujuan pun sebenarnya tetapi hanya ianya sebagai salam perkenalan atau surat tawaran sahaja.

“Salah kami tidak meneliti terlebih dahulu isi kandungan surat tersebut selain kelemahan untuk memahami Bahasa Inggeris,” katanya Kepada Astro Gempak.

Bagaimanapun jelas Atu, mereka terpaksa menolak tawaran untuk membintangi filem tersebut kerana tidak bersesuaian dengan kehendak mereka.

“Kami belum menyatakan apa-apa persetujuan kerana menurut pihak pengurusan syarikat tersebut, jika kami mendiamkan diri bermakna Zero tidak bersetuju dengan skrip filem tersebut,” ujarnya.

Tambah Zero, mereka tidak kesal dengan kejadian tersebut sebaliknya menjadikannya sebagai pengajaran buat mereka bertiga.

“Ini pertama kali perkara seumpama ini berlaku terhadap kumpulan Zero. Kami tidak kecewa tetapi akan dijadikan pengajaran supaya Zero lebih berhati-hati selepas ini,” katanya lagi.

Sementara itu, Atu melantik isterinya, Shafeeqa Johari sebagai pengurus Zero untuk memudahkan pergerakan mereka terutamanya melibatkan kontrak kerja.

“Isteri saya pandai bertutur dalam Bahasa Inggeris, jadi ianya memudahkan kami sekiranya menjalinkan sebarang perjanjian dengan mana-mana pihak,” jelas Atu mengakhiri perbualan.

Dalam perkembangan lain, kumpulan Zero bakal muncul dalam sebuah filem aksi komedi pertama mereka berjudul ‘Lu Mafia Gua Gangster yang akan mula ditayangkan pada 21 April ini.

Selain kumpulan Zero, filem terbitan Red Fires dan RJ Future Films turut menampilkan pelakon seperti Zack Taipan, Datuk Jalaluddin Hassan, Azlee Senario, Saiful Apek dan ramai lagi.

Teks Oleh: Khalid rahman