Seorang pereka tari lelaki yang pernah tinggal bersama mendiang Raja Pop, Michael Jackson semasa zaman kanak-kanaknya mendakwa dia pernah dicabul bintang pop berkenaan selama tujuh tahun.

Dalam satu dokumentari 'Leaving Neverland' yang bakal ditayangkan di saluran HBO tidak lama lagi, Wade Robson mendedahkan secara terperinci tindakan seksual Jackson terhadapnya sejak dia berumur tujuh tahun sehinggalah dia mencecah akil baligh.

Pra-tonton filem itu telah diadakan sempena Festival Filem Sundance, Utah pada Jumaat lalu.

Dalam dokumentari itu, Wade Robson yang berasal dari Australia mendedahkan secara terperinci tindakan seksual Jackson terhadapnya sejak dia berumur tujuh tahun sehinggalah dia mencecah akil baligh.

Kesemuanya didakwa berlaku di Amerika Syarikat sewaktu dia dan keluarganya berpindahkan ke negara itu.

Dakwa Robson, perilaku jijik berkenaan dilakukan Jackson ke atasnya sehinggalah 'raja pop' berkenaan 'hilang selera' kepadanya apabila dia berusia 14 tahun.

Sejurus tamat tontonannya, penonton memberikan tepukan gemuruh terhadap Robson yang muncul di atas pentas.

Robson yang juga pereka tari buat bintang terkenal seperti Britney Spears dan kumpulan NSYNC sebelum ini pernah mengemukakan saman $2.2 bilion (RM9 bilion) kepada waris Jackson susulan dakwaan berkenaan pada 2013.

Bagaimananpun saman berkenaan ditolak selepas mahkamah memutuskan waris Jackson tidak boleh bertanggungjawab atas dakwaan berkenaan.

'Leaving Neverland' dijangka ditayangkan pada hujung bulan ini (di HBO) dan turut menampilkan seorang lagi mangsa, James Safechuck.

Kedua-dua mangsa kini berusia dalam lingkungan 30an.

Michael Jackson meninggal dunia pada tahun 2009.

Sementara itu waris Jackson tampil dengan kenyataan yang membidas dakwaan berkenaan.

"Ia adalah satu rekaan semula dakwaan lama yang tidak masuk akal dan berunsur tabloid," kata kenyataan berkenaan.

"Mereka sudahpun menarik balik dakwaan berkenaan dan sudahpun bersumpah bahawa Michael tidak pernah mencabul kehormatan mereka. Ini adalah satu usaha untuk mengeksploitasi nama Michael Jackson."

Bagaimanapun peguam yang mewakili kedua-dua mangsa menyatakan kes itu digugurkan akibat masalah teknikal, bukan atas penipuan dalam dakwaan mereka.

Kes itu kini dalam peringkat rayuan.

Sumber: Agensi / Astro Awani
Foto: The Sunbest