Astro menerusi saluran Astro Citra memperkenalkan kempen Karya 12 yang menampilkan kerjasama antara pengarah tersohor dan pelajar berbakat dari Institut Pengajian Tinggi (IPT) dalam menghasilkan filem televisyen (FTV).

Pengarah terkemuka seperti Micheal Ang, Ghaz Abu Bakar, Sabri Yunus, Bernard Chauly, Yusry Abdul Halim dan Osman Ali bergabung bersama enam pelajar IPT seluruh Malaysia menghasilkan karya menarik yang bakal disiarkan pada setiap Sabtu dan Ahad, jam 10.00 malam bermula 30 April di saluran Astro Citra (131) dan Astro Mustika HD (134).

Pencarian pelajar yang bermula pada November 2015 sehingga Januari 2016 telah diadakan di enam lokasi terpilih iaitu Universiti Utara Malaysia, Universiti Malaysia Sarawak, Akademi Seni Budaya & Warisan Kebangsaan, Universiti Teknologi MARA, Universiti Sains Malaysia dan Universiti Multimedia.

Dalam merealisasikan idea pelajar, Astro turut memberikan peruntukan kewangan bagi membolehkan mereka membiayai projek yang bakal dihasilkan.

"Kempen sebegini pertama kali diperkenalkan oleh Astro untuk mencari bakat baru dalam industri kreatif. Karya 12 bertujuan untuk mencetuskan anjakan baharu kepada industri perfileman yang dilihat semakin maju. Karya 12 merupakan landasan untuk pelajar IPT tampil mencurahkan idea masing-masing dengan bantuan pengarah terkenal yang bertindak sebagai mentor mereka," kata Naib Presiden Bahagian Perniagaan Melayu Astro, Khairul Anwar Salleh.

Kempen Karya 12 juga menampilkan elemen komersial dengan membawakan bintang terkemuka seperti Pekin Ibrahim, Nora Danish, Fizz Fairuz, Kamal Adli, Remy Ishak, Fathia Latiff, Bront Palarae, Tya Ariffin, Beto Kusyairy dan ramai lagi untuk membintangi setiap filem televisyen yang dihasilkan.

“Menerusi beberapa proses saringan, enam karya kemudiannya telah disenarai pendek dan karya-karya tersebut dilihat berpotensi untuk difilemkan, seterusnya disiarkan di saluran Astro Citra. Karya-karya tersebut telah dipilih sendiri oleh pengarah yang terlibat dan mereka akan membantu para pelajar terpilih untuk merealisasikan karya mereka. Pelakon terkenal turut dipilih untuk membintangi karya yang dihasilkan,” kata Pengurus Saluran Astro Citra, Amal Ziaq Nawawi.

Jangan lupa saksikan kempen Karya 12 yang akan disiarkan pada setiap Sabtu dan Ahad bermula 30 April ini pukul 10.00 malam di Astro Citra (131) dan Mustika HD (134).