Penyanyi Nabila Razali akui pemilihan Fendy Bakry dalam muzik video single terbaharunya adalah kerana aktor itu mempunyai ciri-ciri lelaki idamannya.

Menurut Nabila, Fendy adalah wajah baru yang dilihat mempunyai bakat dan potensi besar untuk mempengaruhi muzik videonya.

“Sebenarnya, seperti yang saya pernah beritahu sebelum ini saya suka akan lelaki yang gelap, tinggi dan berparut.

“Jadi bila hendak memilih jejaka untuk berlakon dalam muzik video ini, saya cuba mencari karakter lelaki sebegitu dan saya nampak ia ada pada Fendy

“Lagipun karakter Fendy juga sesuai dengan jalan cerita dan kisah lagu ini,” katanya.

Mengulas mengenai pembikinan muzik video tersebut, Nabila memberitahu ia mengisahkan wanita yang mahu membalas dendam kepada bekas kekasihnya.

“Muzik video Vroom Vroom arahan Ghazi Maslan ini mempunyai unsur komedi.

“Ia mengisahkan mengenai seorang wanita bersama rakannya mahu membalas dendam terhadap bekas kekasihnya.

“Saya berbesar hati apabila kawan-kawan selebriti lain seperti Hael Husaini, Ara Johari, Nia Natahsa dan Sharifah Rose terlibat dalam muzik video ini,” katanya lagi.

Muzik video Vroom Vroom sudah dilancarkan dan boleh ditonton di laman Youtube Seventeen Eleven Music mulai 4 petang semalam.

Terdahulu, muzik video Pematah Hati berjaya meraih 1 juta tontonsn Youtube dalam tempoh 24 jam.