Pelakon berbakat besar, Wan Maimunah terkilan apabila terdapat individu memanipulasi dan membuka akaun Instagram palsu atas namanya.

Kata pelakon filem Putih itu, dia risau sekiranya individu yang tidak bertanggungjawab itu memanipulasi keadaannya dan memperdaya pengguna lain.

"Ada juga buka Instagram atas nama Ibu dan gambar saya.

"Untuk pengetahuan semua, saya sudah membuat laporan polis sebab risau dia memanipulasi keadaan dan memuat naik nombor akaun untuk menipu orang kononnya saya tidak sihat.

"Pembohongan ini berdosa! Kalau saya tak ampunkan dosa esok cari saya di akhirat," tegas Wan Maimunah seperti yang dilaporkan di HLive.

Wan Maimunah turut terkilan apabila khabar angin mendakwa dirinya dalam keadaan tenat dan nazak disebarkan sekali lagi baru-baru ini.

"Sedihnya orang viralkan kata saya tenat.

"Ramai yang hubungi saya minta kepastian termasuk anak-anak saya. Telefon sampai menangis-nangis.

"Padahal saya tidak sakit pun dan bukan di hospital sekali pun.

"Saya bersyukur apabila ada yang memviralkan hal sebegini sebab masih ramai yang mendoakan kesejahteraan saya.

"Jadi, saya merayu agar jangan memviralkan benda yang tidak munasabah sebegini lagi selepas ini," tambahnya.

Untuk berita hiburan yang padat dengan informasi, jangan lupa saksikan HLive! yang bersiaran pada setiap Isnin hingga Sabtu pada jam 8.30 malam di Astro Ria (104) dan Astro Ria HD (123).