Tiga bekas pelajar Akademi Fantasia (AF), iaitu Felix (AF 3), Aishah (AF 7), dan Zizi (AF 7) antara sepuluh peserta yang terpilih untuk menyertai program realiti nyanyian terbaru, Dangdut Star.

Menurut Pengurus Saluran Astro Prima, Farah Zainul, para peserta terdiri daripada mereka yang pernah menyertai program-program realiti nyanyian stesen tv lain.

“Dari segi pemilihan para peserta, Astro telah mengadakan satu sesi uji bakat khas bagi memilih peserta yang berpotensi untuk mengangkat martabat irama dangdut di Malaysia.

“Sepuluh peserta yang terpilih adalah dari kalangan mereka yang mempunyai bakat dan mampu menjadi pelapis penyanyi dangdut,” katanya pada majlis sidang media program Dangdut Star di Restoran Saloma Bistro, Kuala Lumpur.

Farah berkata, para peserta bakal diuji dengan cabaran memvariasikan irama dangdut dalam bentuk yang lebih segar dan memberi kelainan kepada para penonton.

“Antara cabaran yang bakal dilalui para peserta untuk program Dangdut Star ialah, mereka perlu memberi nafas baru kepada lagu-lagu dangdut terkini mengikut kesesuaian,” ujarnya.

Tambahnya, para peserta yang terpilih mempunyai pelbagai platform untuk mengetengahkan bakat mereka selepas berakhirnya program Dangdut Star.

“Sebenarnya tiada masalah untuk mereka mengembangkan irama dangdut sekiranya mendapat tempat di hati rakyat Malaysia. Contohnya, penyanyi dangdut Cita Citata yang berjaya membawa fenomena dalam indsutri muzik tempatan baru-baru ini,” katanya.

Selain Felix, Aishah dan Zizi, tujuh peserta yang turut memberi saingan dalam program Dangdut Star ialah Rojer (Mohd Rozaidy Shukry, Johor), Fitri (Fitri Hiswady, Perak), Jiwa (Muhd Firdaus, Pahang), Zarith (Zarith Shuhada, Johor), Wanie (Azmahirwani Nordin, Kelantan), Elda (Elda Susanty, Johor) dan Fiesha (Norerinafisha, Kedah).

Penulis lirik terkenal, Suhaimi Mohd Zain atau Pak Ngah dan penyanyi dangdut terkenal tanah air, Mas idayu diberi kepercayaan untuk menjadi juri tetap dan menilai persembahan para peserta berdasarkan kriteria yang telah ditetapkan.

Juara Dangdut Star bakal membawa pulang wang tunai berjumlah RM50,000, pakej percutian ke Sydney, Australia dan trofi.

Naib Juara pula akan memenangi wang tunai RM20,000 dan pakej percutian ke Korea serta trofi

Manakala tempat ketiga bakal membawa pulang wang tunai RM15,000, pakej percutian ke Bali, Indonesia dan trofi. Sementara pemenang tempat keempat akan memenangi wang tunai RM10,000 serta trofi.

Program Dangdut Star dihoskan oleh pelawak Tauke Jambu dan trio De Fam yang bakal bersiaran bermula 27 April selama enam minggu, setiap hari Rabu, jam 9 malam di saluran Astro Prima (105) dan Maya HD (135).