TUTUP

#GempakSpot: 3 Meter VS 8 Malam

Hiburan
#GempakSpot: 3 Meter VS 8 Malam
Saya perokok tegar.
Tetapi saya bukan menulis untuk mempromosikan rokok. Saya sebenarnya menyokong penuh usaha kerajaan membuat undang-undang melarang merokok di tempat awam terutamanya di restoran, kedai makan, mahupun gerai-gerai makan.

Satu usaha yang sangat bagus kerana walaupun saya seorang perokok, saya juga faham dengan segelintir mereka yang merokok tetapi tidak menghormati orang sekeliling. Apatah lagi bila ada anak-anak kecil berhampiran tetapi mereka tidak mengambil peduli.

Jarak 3 meter daripada bangunan atau kedai makanan, itu syarat yang dikenakan untuk perokok. Jarak yang harus mereka anggarkan untuk membolehkan mereka merokok. Saya sangat setuju.

Tetapi saya agak kecewa kerana undang-undang ini tidak berlaku adil kepada semua. Sekurang-kurangnya mesti ada keseimbangan supaya tidak berlaku perkara yang lebih leceh dan remeh.

Saya lihat ramai perokok yang sememangnya merokok jauh daripada tempat-tempat yang diwartakan sebagai kawasan larangan merokok. Tapi lain pula yang terjadi. Tiada tempat khusus yang disediakan. Bermakna, setiap jarak lebih daripada 3 meter, merata-rata puntung rokok dibuang kerana tiada tempat membuang puntung rokok.

Menyelamatkan udara dan ‘second hand smokers’ menyebabkan kekotoran bumi dan alam sekeliling. Sepatutnya bila dibuat undang-undang sebegitu, pihak restoran atau kedai makan diarahkan juga menyediakan tempat merokok yang sesuai dan mempunyai tempat membuang puntung rokok.

Sudah banyak tempat yang berbuat demikian sebenarnya tetapi tidak menyeluruh. Kalau kita ke lapangan terbang, ada tempat merokok. Kalau kita ke pusat membeli belah, ada tempat merokok. Semua ini sekurang-kurangnya tidak ‘membebankan’ perokok. Ya, saya pasti ramai yang akan menasihati saya supaya berhenti sahaja merokok. Tapi, ahhh, nanti panjang pula ceritanya.

Apa yang saya ingin sarankan supaya biarlah ada tempat untuk perokok ini merokok tanpa membahayakan mereka yang tidak merokok, dan pada masa yang sama tidak mengotorkan alam sekitar.

Okay, sekarang berbalik pula kepada cabaran daripada perokok untuk yang tidak merokok mula tersebar di media sosial. Bukan perokok diminta supaya tidak keluar rumah selepas pukul 8:00 malam.

Maaf, walaupun saya perokok tegar, saya tidak bersetuju dengan saranan ini. Kenapa perlu kita mengenakan ‘curfew’ kepada bukan perokok? Mereka adalah rakyat Malaysia di negara aman yang tidak memerlukan tahanan masa untuk keluar rumah.

Jika anda perokok dan isteri serta anak-anak anda tidak merokok, adakah anda tidak berpeluang untuk keluar makan malam atau melakukan aktiviti-aktiviti bersama keluarga selepas pukul 8:00 malam di luar rumah? Sesuatu yang tidak logik, bukan?

Jarak 3 meter dengan tidak boleh keluar selepas pukul 8:00 malam adalah sesuatu yang sangat berbeza. Seperti yang saya ceritakan di atas, jika pihak bertanggung jawab mengimbangi undang-undang ini dengan menyediakan tempat khusus untuk perokok, saya rasa tidak akan timbul sebarang masalah. Tidak perlu ada curfew untuk bukan perokok. Semuanya adalah imbangan.

Badrul adalah penulis bebas untuk artikel di atas. Pandangan dan pendapat penulis adalah hasil karya asli penulis dan tidak mewakili serta tidak mencerminkan pandangan dan pendapat dari Gempak. Gempak tidak bertanggungjawab atas sebarang kesilapan atau kesalahan kandungan artikel ini.

Kepada anda yang berminat untuk menyumbang, hantarkan karya anda ke [email protected]

Artikel Berkaitan