Kumpulan lawak Puteh yang dianggotai oleh Ali dan Mamak kecewa dengan keputusan akhir program realiti Maharaja Lawak Mega 2018 (MLM 2018) yang melabuhkan tirai pada Jumaat lalu.

Mengakhiri perjalanan mereka di tempat yang ke-4, Puteh menyimpan harapan untuk mendapat kedudukan yang lebih baik.

Malah, menerusi hasil pemerhatian di laman sosial, ramai netizen yang mengharapkan kumpulan itu meraih kedudukan pertama, kedua atau ketiga.

"Siapa yang tak mahu bergelar juara atau menggondol kedudukan yang lebih baik? Semua orang pastinya menyimpan harapan tersebut dan kami juga begitu.

"Sejujurnya, kami agak kecewa dengan keputusan pada malam terbabit. Mungkin ada beberapa kekurangan tetapi kami beranggapan tiada rezeki kami untuk meraih kedudukan yang lebih baik.

"Ini tidak menjadi penghalang untuk kami berusaha dengan lebih keras di lain masa. Kami tidak akan berhenti memberikan hasil kerja berkualiti kepada peminat," kata Ali.

Tambah Mamak pula, populariti juga turut memainkan peranan penting dalam pertandingan seperti MLM 2018.

"Kami tak nafikan, populariti penting. Namun begitu, selepas tiga kali bersaing di pentas MLM, ramai lagi masih beranggapan Puteh merupakan peserta 'underdog'.

"Kami sendiri tak tahu kenapa kami masih dianggap sebegitu kerana sudah saban tahun kami bertanding di pentas yang sama. Namun begitu, ia tidak memutuskan harapan kami.

"Insya-Allah, jika ada rezeki, kami akan tampil dengan sesuatu yang lebih baik di masa akan datang," kata Mamak.

Ali dan Mamak ditemui di majlis pelancaran teater komedi seram anti dadah Dari Cherok Tok Kun ke Gombak di Black Box, SACC Mall Shah Alam pada Selasa.

Puteh bakal membintangi teater terbabit bersama Kumpulan Kiut, Bell Ngasri, Azharina, Jojie Aminuddin, Dylea, Wan Raja, Abu Mamu dan ia bakal diadakan di Teater Shah Alam tidak lama lagi.