Penyanyi dan juara program Big Stage, Sarah Suhairi mengatakan dia masih tidak pasti dengan tahap popularitinya pada tahun ini kerana baru sahaja memasuki tahun 2019.

Menurut Sarah, dia berharap agar namanya terus naik dan popular disebabkan oleh perkara yang positif sahaja.

"Masih terlalu awal untuk saya bercakap mengenai populariti saya tahun ini, kita baru sahaja memasuki tahun baru.

"Namun begitu, apa yang saya harapkan adalah populariti yang disebabkan perkara-perkara baik yang saya lakukan, bukanlah disebabkan oleh kontroversi yang negatif.

"Saya pun masih baru dalam industri, saya akan fokus dalam karier saya dan insha-Allah akan ada karya terbaru dalam tahun ini," katanya kepada Gempak.

Dalam perkembangan lain, Sarah tercalon dalam tiga kategori yang dipertandingkan dalam Era Digital Muzik Awards (EDMA 2018) yang bakal berlangsung pada Jumaat ini.

Tiga kategori tersebut adalah Muzik Video Paling Lit (untuk lagu Nyawa Raga), Penyanyi Paling Lit Di Media Sosial dan Temu Bual Terbaik Carta Era.

EDMA 2018 ini akan menyaksikan tahun ketiga jenama radio nombor satu di Malaysia, ERA memberi pengiktirafan kepada artis tempatan yang merangkumi artis viral di media sosial.

Untuk maklumat lanjut mengenai EDMA 2018 ini, sila ikuti laman sosial ERA di Facebook, Instagram, Twitter dan layari www.era.je.