Tahun baru, azam baru! Sesuai dengan kemunculan 2019, Alif dan SonaOne tampil dengan lagu yang sesuai untuk menjadikan tahun baru lebih bermakna serta membawa keyakinan.

Meneruskan pesanan positif yang telah disemaikan dalam single Obvious yang muncul pada tahun lalu, mereka kembali dengan single baru berjudul Pun Boleh.

Pun Boleh merupakan satu dedikasi khas yang ikhlas bertujuan untuk membangkitkan keyakinan diri hasil nukilan dua jejaka ini.

Sepanjang penghasilan lagu ini, Alif dan SonaOne meraikan kuasa serta potensi
golongan yang sering terpinggir dalam lirik yang cuba disampaikan.


Namun, dalam penyampaian mereka yang penuh karismatik, mesej yang disampaikan diperkukuhkan dengan pesanan seperti “kalau aku nak, aku pun boleh”.

Seperti muziknya, video muzik lagu ini yang tampil dalam bentuk animasi juga menampilkan kelainan tersendiri. Pengarahnya, Eddie Ezuan ingin menekankan kreativiti dan potensi yang tidak berpenghujung.

Oleh kerana itu, naratif video ini mengikuti Alif dan SonaOne secara berasingan tatkala mereka menerokai dunia tersendiri yang berbeza.

Pun Boleh sudah boleh dinikmati di laman YouTube serta boleh didengari menerusi semua pelantar digital bermula 18 Januari 2019.