Penyanyi dan juara program Gegar Vaganza musim ketiga (GV3), Azharina Azhar atau mesra disapa sebagai Nina mengakui pergerakannya di dalam industri hiburan tidak serancak artis popular lain.

Namun begitu, pelantun lagu Elegi Sepi ini bersyukur kerana namanya masih bertahan dan dia tidak pernah gagal untuk sentiasa tampil dengan single terbaru.

"Saya akui saya agak perlahan dalam industri hiburan ini, namun begitu saya berjaya bertahan selama 18 tahun tanpa menghilang begitu sahaja.

"Alhamdulillah, saya tidak pernah gagal untuk tampil dengan single terbaru, boleh dikatakan hampir setiap tahun saya akan tampil dengan buah tangan terbaru untuk peminat.

"Untuk tahun 2019 ini, saya sudah merancang untuk hasilkan beberapa single yang sesuai dengan penerimaan masyarakat masa kini, semoga semua urusan dipermudahkan," kata Azharina kepada Gempak.

Dalam perkembangan lain, Nina kini diurus oleh pengurus artis terkenal, Jojie Aminuddin dimana ia dianggap mampu melonjakkan lagi kariernya ke peringkat yang lebih jauh.