Pelakon Azira Shafinaz mendedahkan hubungannya yang dibina selama enam tahun bersama teman lelaki, Yasser Khan putus tahun lalu.

Ingin memberikan fokus kepada kerjaya, Azira menafikan punca perpisahan mereka disebabkan orang ketiga atau tidak sefahaman.

"Saya single dan 'available', kalau ada jodoh tak kemana. Mungkin kami tak ada jodoh.

"Buat masa sekarang saya terbuka untuk berkawan dengan sesiapa sahaja dan kalau kami masih ada jodoh selepas ini, kita akan ke langkah seterusnya.

"Perpisahan ini atas persetujuan bersama, saya mahu fokus kepada kerjaya saya dan bukan kerana kurang memahami satu sama lain.

"Mungkin kami mahukan perkara yang berbeza, dia pun sangat menyokong dan memahami kehidupan dan kerjaya saya, cuma mungkin masa tak menentukan untuk kami bersama.

"Yang penting, bukan kerana orang ketiga," katanya kepada Gempak.

Tambah Azira, hubungan mereka berdua masih baik dan jejaka itu sudah dianggap sebahagian daripada ahli keluarganya.

"Buat masa sekarang saya tidak mahu menerima sesiapa, biar saya berehat daripada memikirkan soal peribadi. Saya mahu fokus pada diri saya sendiri terlebih dahulu.

"Kami pun tidaklah bergaduh, masih juga berjumpa seperti biasa.

"Malah, baru-baru ini pun dia sendiri yang meraikan birthday ibu saya ketika saya tiada. Keluarga saya pun sudah anggap dia sebahagian daripada hidup kami," jelas Azira.