TUTUP

"Ubah 80 Peratus Lagu Asal" - DeFam Ganti Altimet Nyanyi Lagu Bunga

Hiburan

Teka-teki penyanyi yang bakal menggantikan Altimet ke pentas Anugerah Juara Lagu ke-33 (AJL33) akhirnya terjawab!

Penyanyi wanita berkumpulan DeFam menjadi pilihan Altimet untuk menyanyikan lagu Bunga pada AJL33 nanti.

Mengulas mengenai perkara terbabit, kata DeFam mereka akui teruja namun dalam masa sama gementar.

"Kami tak tertekan tetapi gemuruh terutama apabila memikirkan malam kemuncak itu tetapi sekarang masih tenang sebab persediaan berjalan lancar.

"Kami sekarang masuk ke kelas vokal dan tarian untuk persembahan ini, cuma anxiety attack sudah bermula," kata wakil DeFam kepada Gempak ketika pelancaran AJL33 di Hotel Empire Subang semalam.

DeFam yang dianggotai oleh Azira Shafinaz, Sophia Liana dan Cik Manggis turut mendedahkan lagu Bunga nyanyian asal Altimet akan berubah 80 peratus.

"Kita ubah dengan cara DeFam dan akan meletakkan tarian serta harmonizing dalam persembahan.

"Ia akan menjadi berbeza sedikit daripada Altimet tetapi pada masa sama akan mengikut rentak dia dan mengikut nasihatnya.

"Bunga tak akan menjadi lagu rap lagi seperti mana kita dengar sekarang, lagu itu akan ada 80 peratus perubahan. 

"Sebenarnya ada banyak perbezaan apabila lagu asal dinyanyikan solo manakala untuk AJL33 nanti akan dinyanyikan bertiga. Maka, akan ada pembahagiannya," tambah DeFam.

Selain Bunga yang merupakan ciptaan Omar K, John Jeevasingam dan Altimet sendiri, pentas AJL33 turut membariskan 11 lagi finalis iaitu Sampai Bila (Misha Omar), Semakin (Siti Sarah), Luluh (Khai Bahar), Tak Pernah Hilang (Amylea dan Kaer), Nisan Cinta (Siti Nordiana dan Jaclyn Victor), Di Matamu (Sufian Suhaimi), Hajat (Hael Husaini), Jatuh Bangun (Haqiem Rusli dan Aman RA), Haram (Hael Husaini dan Dayang Nurfaizah), Kau Pun Sama (Syamel) dan Bunga (Ara Johari).

AJL33 akan berlangsung di Axiata Arena, Bukit Jalil pada 3 Februari depan.


 

Artikel Berkaitan