Penyanyi Black mengakui semakin matang dan dan tidak mudah melatah di media sosial selepas bergelar seorang bapa sejak tahun lalu.

Menurut Black atau nama sebenarnya Hanifah Md Hanafiah, lebih-lebih lagi sejak isterinya keguguran cahaya mata kedua mereka awal tahun ini.

“Bila dah ada cahaya mata kita kena berubah. Setiap tutur kata dan apa sekali pun tindakan yang saya mahu lakukan kena fikir keluarga terlebih dahulu. Kalau dulu mungkin kita asyik fikir diri sendiri sahaja, tapi sekarang tidak lagi,” jelas Black sewaktu majlis pelancaran album keduanya di The Camelot, Mutiara Damansara.

Kata Black, dia juga perlu lebih berhati-hati selepas turut menerima teguran daripada ayahnya yang kurang bersetuju dengan karakternya dalam sebuah program realiti nyanyian baru-baru ini.

“Sedia maklum baru-baru ini saya teruk dikecam oleh peminat dan penonton sehingga bapa sendiri buat pertama kali tegur mengenai kelakuan saya yang agak berlebihan dalam sebuah program realiti nyanyian.

“Bapa beritahu saya seakan memperbodohkan diri sendiri kerana bersikap keterlaluan dalam program tersebut. Teruk juga saya kena ‘ceramah’ dengan bapa waktu itu,” ujar Black.

Tambah Black lagi, isterinya turut memberi teguran terlebih dahulu namun tidak diendahkan.

“Pada awalnya isteri dah tegur kelakuan saya tapi beri sebab kerana kehendak kerja, tetapi bila bapa dan ibu sendiri dah perasan dan teguran maknanya memang dah agak keterlaluan,” kata Black lagi.

Mengulas lebih lanjut mengenai album terbarunya berjudul “Black”, penyanyi kelahiran Kuala Lumpur ini menjelaskan ianya hadiah buat peminat terutamanya yang berada di luar Bandar.

“Sebenarnya saya dah tunggu dari tahun lalu untuk lancarkan album ini, tambahan ramai peminat di kampung-kampung nak sangat sebagai simpanan mereka. Ini hadiah untuk mereka walaupun tiada lagu baru.

“Kelebihan album kedua saya ini adalah Bonus Tracks untuk karaoke. Ada empat buah lagu Minus One iaitu Teman pengganti, Mana Mungkin, Si Putih Si Merah dan Takkan Terpisah,” jelasnya mengakhiri perbualan.

Album “Black” kini boleh didapati sekarang dan diedarkan oleh Warner Music Malaysia dengan harga RM29.90.

Teks Oleh: Khalid Rahman