Pelawak dan aktres Jihan Muse mendedahkan telah menjalani pembedahan untuk membuang ketumbuhan cyst selepas bersalin anak sulung, Ungku Arsalan Haq.

Kata Jihan, dia bertemu doctor dan membuat pemeriksaan selepas dimaklumkan oleh tukang urut yang merasai ada ketulan sebesar guli di bahagian bawah dadanya.

“Pembedahan tempoh hari adalah disebabkan Cyst. Saya sendiri tak tahu mengenai ketumbuhan itu.

“Tak ada rasa sakit dan saya memang tak tahu. Punca yang membuatkan saya tahu adalah masa lepas bersalin di mana saya mengambil tukang massage untuk mengurut.

“Jadi bila diurut, dia yang memberitahu ada benda sebesar guli di bawah bahagian dada, sebab itu saya terus buat keputusan untuk pergi melakukan pemeriksaan perubatan,” jelasnya.

Bagaimanapun Jihan memberitahu ketumbuhan itu tidak merbahaya namun dia mengambil keputusan untuk membuangnya bagi mengelakkan timbul masalah kesihatan di masa akan datang.

“Doktor kata tidak bahaya namun dia menasihatkan supaya saya buang sahaja. Saya buat ini pun tidak tergesa-gesa, lepas anak saya umur 11 bulan. Ada masa baru saya buat

"Bukan apa, khuatir nanti jika saya hamil anak kedua takut ada jangkitan. Sebab bila hamil hormon kita akan berubah-ubah jadi lebih baik saya buang.

"Jadi kepada wanita, saya sarankan buatlah pemeriksaan perubatan. Luangkan sikit masa dan berbelanjalah untuk kesihatan.

“Bagi saya kesihatan tiada nilai, kalau kita kaya macam mana pun tetap tak boleh beli kesihatan,” ujarnya.

Untuk berita hiburan yang padat dengan informasi, jangan lupa saksikan HLive! yang bersiaran pada setiap Isnin hingga Sabtu pada jam 8.30 malam di Astro Ria (104) dan Astro Ria HD (123).

Foto: Instagram @jihanmuse