Pelakon dan penyanyi cantik, Nur Fazura mengalami kecederaan ketika menjalani penggambaran muzik video terbarunya yang berjudul Can't Forget Me.

Menurut bintang filem J Revolusi ini, dia terpaksa meneruskan penggambaran muzik video walaupun kakinya terseliuh.

"Kaki saya terseliuh akibat hentakan kuat di bahagian tulang keting kaki sewaktu melakukan penggambaran muzik video single Can't Forget Me.

"Namun, saya tetap meneruskan sehingga selesai penggambaran selama dua hari.

"Sebulan juga kaki saya kembali pulih malah sekarang masih ada rasa kesakitan," katanya kepada Gempak.

Dalam perkembangan lain, filem lakonan Fazura iaitu The Legend of Pontianak akan ditayangkan di pawagam pada bulan Jun ini.

"The Legend of Pontianak akan ditayangkan selepas sambutan hari raya aidilfitri kalau tak silap saya iaitu bulan Jun.

"Selepas konsert di Elmina, saya akan ke Indonesia untuk filem terbaru saya.

"Saya akan berlakon di Indonesia pada bulan depan namun tidak dapat mengulas banyak kerana saya belum menandatangani kontrak.

"Namun, itulah perancangan saya buat masa ini," katanya lagi.

Single terbaru Fazura ini mendapat sentuhan komposer dari Los Angeles, Will Beaman bersama Cameron Forbes dan muzik videonya pula diarahkan oleh Fabian Joseph.

Lagu dan muzik video Can't Forget Me bakal dilancarkan pada 18 Januari ini di semua pelantar digital termasuklah iTunes, Apple Music, Spotify, Deezer, JOOX dan KKBOX.