Penyanyi nombor satu negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza bersyukur hari ulang tahun kelahirannya diingati ramai.

Semalam, menerusi laman sosial Twitter, kata kunci 'Tok Ti', 'Siti Nurhaliza' dan '#SitiGolden40th' menjadi trending serentak sempena meraikan hari jadinya yang jatuh pada 11 Januari.

"Saya rasa segan dan sangat rendah diri. Apa yang paling penting, saya rasa sangat bersyukur.

"Ini semua adalah anugerah Allah. Bukan satu perkara yang mudah apabila Allah membuatkan kita rasa disayangi.

"Kalau orang nak benci tu, senang je. Tinggal orang nak sayang kita ni, memang memilih untuk kita menyayangi," kata Siti.

Pelantun lagu Anta Permana ini ditemui di majlis sambutan ulang tahun #SitiGolden40th yang disambut di Pusat Dagangan Dunia Putra, Kuala Lumpur malam tadi.

Tambah Siti, dia berharap setiap karya seninya dapat terus menghiburkan peminat.

"Alhamdulillah, dengan kurniaan bakat yang ada, saya diberikan kesempatan untuk menghiburkan masyarakat dan peminat.

"Saya sangat menghargai dan berterima kasih. Saya harap bakat yang saya kongsikan dapat menggembirakan peminat dan pendengar.

"Bila mereka gembira dan terhibur, itu adalah hadiah yang sangat besar bagi saya," katanya lagi.

Majlis ulang tahun Siti yang dirancang oleh suaminya, Datuk Seri Khalid Mohamad Jiwa itu dihadiri oleh keluarga, teman rapat, rakan-rakan selebriti serta pihak media.