Pelakon cantik, Amyra Rosli tak kisah apabila ada kritikan yang mengecam dirinya yang menjayakan babak intim bersama pelakon Fendy Bakry.

Drama bersiri lakonan Amyra dan Fendy, Kan Kukejar Cinta Kamu sedang hangat ditayangkan di slot Megadrama.

"Saya akui, drama bersiri ini memerlukan saya melakonkan babak-babak mesra dengan Fendy, seperti contoh, babak berdua atas katil.

"Babak atas katil tu, mungkin di kaca televisyen nampak agak rapat tapi sebenarnya kami duduk berjauhan. Teknik kamera digunakan untuk merealisasikan babak itu agar ia kelihatan natural.

"Babak menari dan beberapa babak lain yang memerlukan karakter kami berdua berada sangat rapat pun digantikan dengan orang lain.

"Saya tak kisah bila ada orang bercakap kerana apabila suami dan keluarga saya tahu cara kami bekerja, itu sudah memadai. Asalkan mereka mengetahui situasi sebenar," kata Amyra.

Kan Kukejar Cinta Kamu merupakan drama bersiri adaptasi novel dengan judul sama karya novelis terkenal, Fauziah Ashari.

Sebelum ini, Fauziah cukup popular dengan novel hebat Ombak Rindu yang pernah diadaptasikan ke layar perak sekitar tahun 2011.

Selain Amyra dan Fendy, pelakon lain yang terlibat dalam drama bersiri ini ialah Dalimawati, Hafidz Roshdi, Mia Nasir, Syamim Farid dan ramai lagi.

Jangan lupa saksikan Kan Kukejar Cinta Kamu setiap Isnin hingga Khamis, jam 10 malam di Astro Ria (104) dan Ria HD (123).

Gunakan hashtag #KanKukejarCintaKamu #KKCK di laman sosial untuk berinteraksi mengenai drama bersiri ini.