Penyanyi tempatan yang mengukir nama di persada antarabangsa, Yuna menyerahkan soal rezeki anak kepada Allah.

Menurut Yuna, dirinya dan suami, Adam Sinclair sangat ringkas serta menerima jika sudah ditakdirkan dirinya hamil.

"Insyaallah kalau ada rezeki saya tidak akan menolak.

"Saya dan Adam sangat ringkas dan senang. Kami menerima jika sudah tiba masa untuk mempunyai cahaya mata.

"Saya juga mengharap doa daripada peminat supaya hasrat kami untuk menimang cahaya mata dimakbulkan Allah," katanya kepada Gempak.

Yuna ditemui pada majlis pelancaran rangkaian kasut dan tas tangan, Yuna X Christyng di Bukit Bintang City Centre (BICC)

Tambah Yuna atau nama sebenarnya Yunalis Mat Zara'ai berkata dia tidak merancang tetapi biarlah hamil selepas semua kerja selesai.

"Saya tidak merancang, tetapi kalau boleh biarlah hamil selepas semua kerja saya selesai.

"Lagipun, buat masa ini saya dan suami duduk berjauhan.

Namun, kalau sudah diberikan rezeki, saya terima sahaja.

"Malah saya sanggup berehat selama setahun daripada kerjaya seni," katanya lagi.