Pelakon dan pengarah Datuk Rosyam Nor melahirkan rasa sedih apabila digelar sebagai 'barua Cina' oleh segelintir netizen di laman sosial.

Menurutnya, dia mempunyai 10 peratus saham dalam syarikat ST Rosyam Mart manakala selebihnya dimiliki oleh Pengarah Sri Ternak Group Sdn Bhd, Datuk Raymond Ho Cheng Hann dan adiknya Alan Ho Cheng Yek.

"Pengunaan perkataan 'barua' itu sangat menyedihkan buat saya dan keluarga. Sekiranya terdapat kecaman-kecaman lain saya masih boleh terima.

"Saya berasa sangat sedih dan malu atas tindakan yang dilakukan kerana niat saya ingin membantu masyarakat Melayu untuk mendapakan barangan yang murah tapi lain pula yang jadi," katanya pada sidang media di ST Rosyam Mart pada Sabtu.

Tegasnya, dia bukan duta untuk ST Rosyam Mart seperti didakwa netizen.

"Saya mempunyai 10 peratus saham. Selebihnya adalah milik Datuk Raymond dan adiknya," katanya lagi.

Tambah Rosyam, dia juga tidak pernah mengatakan bahawa ST Rosyam Mart adalah dimiliki sepenuhnya secara peribadi.

Selain Rosyam, sidang media itu turut dihadiri pihak ST Rosyam Mart Sdn Bhd.

BACA: Dakwaan Pasar Raya Dimiliki Peniaga Bukan Melayu, Rosyam Nor Buat Sidang Media

Pasar raya ST Rosyam Mart yang dibuka 24 jam sehari mula beroperasi di Setiawangsa sejak pertengahan tahun lalu.

Pasar raya ini pernah diserbu pelanggan kerana menawarkan ayam mentah pada harga 80 sen sahaja seekor.

Sumber: Astro Awani