Pelakon Amyra Rosli mengakui dia merindui anaknya, Aqeef Anaqi ketika sedang sibuk bekerja di set penggambaran.

Namun begitu, isteri kepada aktor Amar Baharin ini tidak risau kerana Aqeef berada di bawah jagaan ibunya, Noor Zaridah Ahmad.

"Siapa yang tak rindu anak kan? Saya akui perasaan itu ada setiap hari ketika saya sibuk di set penggambaran.

"Apa yang boleh saya lakukan kalau rindu, saya akan menghubungi anak menerusi panggilan video. Alhamdulillah, setakat ini semuanya baik-baik sahaja kerana anak saya dijaga oleh ibu.

"Sesibuk mana pun saya dan suami, saya akan pastikan waktu malam saya akan dihabiskan bersama Aqeef... Saya akan tidur bersama anak dan suami," kata Amyra.

Kini, drama bersiri lakonan Amyra, Kan Kukejar Cinta Kamu sedang hangat ditayangkan menerusi slot Megadrama.

Ini merupakan pengalaman pertama Amyra bekerjasama dengan Fendy Bakry sebagai teraju utama.

"Ini kali pertama saya bekerja dengan Fendy. Ini juga pengalaman pertama saya berlakon di bawah arahan Yusry Abd Halim.

"Alhamdulillah, semuanya dipermudahkan. Biarpun semuanya serba baru, saya rasa mudah untuk mendapat keserasian dengan mereka," katanya.

Kan Kukejar Cinta Kamu merupakan drama bersiri adaptasi novel dengan judul sama karya novelis terkenal, Fauziah Ashari.

Sebelum ini, Fauziah cukup popular dengan novel hebat Ombak Rindu yang pernah diadaptasikan ke layar perak sekitar tahun 2011.

Selain Amyra dan Fendy, pelakon lain yang terlibat dalam drama bersiri ini ialah Dalimawati, Hafidz Roshdi, Mia Nasir, Syamim Farid dan ramai lagi.

Jangan lupa saksikan Kan Kukejar Cinta Kamu setiap Isnin hingga Khamis, jam 10 malam di Astro Ria (104) dan Ria HD (123).

Gunakan hashtag #KanKukejarCintaKamu #KKCK di laman sosial untuk berinteraksi mengenai drama bersiri ini.