Pelakon Izreen Azminda mengakui kritikan tajam juri mengguris hati para peserta Gempak Superstar.

Izreen ketika ditemui Astro Gempak selepas konsert keempat pada malam Ahad lalu berkata, komen dalam nada menghentam kadang-kala menyebabkan peserta tertekan dan 'down'.

"Jujur saya katakan, kritikan yang begitu tajam mengguris hati kami semua. Tambah-tambah lagi dengan nada menghentam, memang kami akan rasa tertekan dan 'down'.

"Bila diberikan komen yang menghentam, mulalah saya rasa serba tak kena dan kadang-kadang ia mengganggu fikiran saya.

"Seperti kata Datuk Ramli MS, kalau intonasi menegur itu okay, maka kami pun akan okay dengan komen tersebut," katanya.

Menurut Izreen lagi, masa yang singkat juga antara faktor yang menyumbang tekanan kepada para peserta.

"Bukan mudah nak hafal skrip lakonan, lirik lagu, step tarian dalam masa yang singkat.

"Kalau diberi tugasan ini kepada penyanyi sebenar pun saya tak rasa mereka dapat lakukan," ujarnya.

Mengulas tentang komen juri terhadapnya, Izreen menyifatkan teguran tersebut agak kasar.

"Juri sepatutnya faham dengan situasi yang berlaku di mana masa untuk sesi latihan adalah tidak mencukupi.

"Saya tak kisah kalau nak kata persembahan saya buruk atau seperti funfair, tak apa.

"Sebenarnya saya memang tak kisah cuma saya rasa juri kena faham masa latihan itu tidak cukup.

"Cuba kalau kita bagi dia yang sudah bertahun-tahun untuk perform dan masa yang ada hanyalah dua hari, adakah mereka boleh lakukan atau pun tidak?

"Tapi apa yang saya ingin beritahu, saya dah lakukan yang terbaik dan mungkin rezeki saya hanya sampai di sini," katanya.

Izreen ditemui pada sidang media konsert keempat Gempak Superstar bertempat di Pinewood, Johor Bahru pada Ahad.

Izreen dan Raja Ilya diumumkan sebagai pesera tersingkir di minggu keempat Gempak Superstar dengan peratusan undian sebanyak 33 peratus manakala Raja Ilya pula 32 peratus.

Jangan lupa untuk menyaksikan Gempak Superstar setiap hari Ahad, jam 9.00 malam di saluran Astro Ria (104) dan Astro Ria HD (123).

Layari www.gempaksuperstar.com.my dan gunakan hashtag #GempakSuperstar untuk berinteraksi mengenai program ini di laman sosial.