Dunia hiburan tanah air dikejutkan dengan pemergian ramai bintang seni bersinar sepanjang tahun 2018.

Kehilangan yang dirasai bukan sahaja memberi kesan mendalam kepada industri seni tempatan, tetapi juga kepada peminat serta rakan selebriti sendiri.

Gempak merakamkan ucapan takziah kepada ahli keluarga, jasa dan sumbangan mereka akan sentiasa dikenang.

Khalid Shamsuri atau Rab Khalid (25 Januari 2018)

Allahyarham Rab Khalid merupakan pelakon komedi yang sering menjadi pilihan pengarah prolifik Mamat Khalid. Rumah Pusaka Di Simpang Jalan dan Hantu Kak Limah Balik Rumah antara filem lakonannya yang berbekas di hati peminat.

Allahyarham disahkan meninggal dunia akibat serangan jantung pada 25 Januari 2018 di Hospital Ampang. Filem terakhir lakonan Allahyarham, Hantu Kak Limah menemui peminat pada 9 Ogos 2018.

Azmil Mustapha (14 Februari 2018)

Allahyarham Azmil Mustapha merupakan pelakon fenomena era 1980-an. Lakonan berbakatnya dalam filem seperti Mekanik, Ali Setan dan Suara Kekasih menjadikan dirinya sebagai hero filem yang sering menjadi pilihan pengarah.

Allahyarham kemudiannya mengambil keputusan untuk bersara dan mendalami ilmu agama. Selepas sepi dari bidang lakonan, Allahyarham sering diundang untuk memberikan ceramah agama sekitar Malaysia. Pernah mengalami komplikasi jantung, Allahyarham meninggal dunia di dalam tidur pada 14 Februari 2018.

Khalid Salleh (23 Julai 2018)

Pelakon dan penggiat seni, Allahyarham Khalid Salleh menghembuskan nafas terakhir di Pusat Perubatan Ampang Puteri di usia 70 tahun pada 23 Julai 2018 kerana disyaki menghidap Tuberkulosis (TB).

Sepanjang hayatnya, Allahyarham pernah dinobatkan sebagai Pelakon Lelaki Terbaik di Festival Filem Asia Pasifik ke-43 di Taipei pada tahun 1998 menerusi filem Jogho.

Allahyarham merupakan pelakon lelaki kedua menerima pengiktirafan terbabit selepas Allahyarham Tan Sri P. Ramlee.

Datuk Mahadzir Lokman (3 Ogos 2018)

Allahyarham Datuk Mahadzir Lokman bermula sebagai penyampai berita di sebuah stesen televisyen sebelum berhenti dan membuka syarikat miliknya sendiri. Kelebihan Allahyarham yang menguasai lebih daripada tujuh bahasa menjadikan dirinya sebagai pengacara terkenal.

Malah, khidmatnya sebagai peneraju majlis menjadi pilihan penganjur untuk acara-acara bertaraf antarabangsa di Malaysia. Allahyarham meninggal dunia dalam tidur di sebuah hotel di Sabah pada 3 Ogos 2018, pada usia 61 tahun.

Saiful Nizen Mohd Ayob atau Nizen Ayob (6 Ogos 2018)

Allahyarham Nizen Ayob memulakan karier sebagai model dan pelakon, serta pernah menyertai pertandingan Hero Remaja. Allahyarham pernah berlakon dalam Gerak Khas selama lima musim daripada tahun 2014 hingga 2017.

Allahyarham meninggal dunia pada 6 Ogos 2018 akibat kegagalan buah pinggang berikutan demam denggi pada usia 32 tahun.

Azrina Abdul Manan atau Azreen Manan (18 Ogos 2018)

Allahyarham Azreen Manan merupakan penyanyi popular era 1990-an dan pernah menyertai pertandingan Asia Bagus di awal karier seninya. Namun Allahyarham mengambil keputusan bersara di usia 16 tahun untuk mendirikan rumah tangga dengan adinda Sultan Pahang, Datuk Seri Tengku Kamarulzaman Sultan Abu Bakar yang juga dikenali sebagai Tengku Intan.

Setelah berpisah, Allahyarham mendirikan rumah tangga dengan jejaka bernama Shah. Allahyarham yang menghidap kanser serviks sejak dua tahun lalu meninggal dunia di Institut Kanser Negara pada 18 Ogos 2018 di usia 41 tahun.

Samynathan Rethinam atau Accapan (14 September 2018)

Mendiang merupakan pelawak berketurunan India terkenal di Malaysia yang cukup fasih bertutur dalam Bahasa Melayu. Pelawak era 1990-an ini banyak membintangi filem, drama serta telefilem Melayu.

Mungkin ramai yang tidak tahu, mendiang juga pernah merakamkan dua buah album trio iaitu Santan Berlada dan Santan Berlada II dalam Bahasa Tamil. Mendiang meninggal dunia di usia 63 tahun pada 14 September 2018 akibat komplikasi buah pinggang.

Datuk Suhaimi Mohd Zain atau Pak Ngah (25 September 2018)

Allahyarham Datuk Suhaimi Mohd Zain atau lebih dikenali sebagai Pak Ngah merupakan komposer Irama Malaysia yang cukup terkenal. Nama penyanyi berbakat seperti Datuk Seri Siti Nurhaliza, Noraniza Idris dan ramai lagi cukup sinonim dengan lagu-lagu ciptaan Allahyarham.

Allahyarham meninggal dunia di Batam, Indonesia pada 25 September 2018. Allahyarham dikatakan menghidap penyakit jantung, darah tinggi dan kencing manis.

A.M. Saleem Abdul Majeed atau Saleem (14 Oktober 2018)

Allahyarham Saleem merupakan penyanyi utama kumpulan Iklim sebelum bergerak secara solo. Sebagai seorang penyanyi, Allahyarham cukup terkenal bukan sahaja di Malaysia, malah di negara jiran seperti Indonesia, Singapura dan Brunei.

Pada 28 September lalu, Allahyarham dimasukkan ke Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia akibat kemalangan motosikal. Selepas hampir sebulan bertarung nyawa, Allahyarham menghembuskan nafas terakhir pada 14 Oktober 2018.

Zainal Ariffin Abdul Hamid atau Zaibo (14 November 2018)

Terkenal sebagai seorang pelakon, pelawak dan juga penari, Allahyarham Zaibo dilahirkan di Padang Besar, Perlis. Lakonannya sebagai Pak Selamat, pemilik bengkel kereta paling diingati dalam siri komedi Spanar Jaya.

Allahyarham mendirikan rumah tangga pada tahun 2010 dan mempunyai sembilan orang anak tiri. Pada September 2018, dia disahkan menghidap kanser esofagus tahap empat. Allahyarham meninggal dunia pada 14 November 2018.