Masuk minggu kelapan, semua peserta Maharaja Lawak Mega 2018 (MLM 2018) dinasihatkan agar lebih fokus pada persembahan untuk terus kekal sehingga ke final.

Salah seorang juri, Tya Arifin berkata semua peserta perlu mengekalkan momentum persembahan di tahap terbaik pada setiap minggu.

"Sebolehnya, peserta tidak hanya bagus pada minggu ini tapi kurang menarik pada persembahan minggu hadapan. Kini, semua peserta sudah bagus dan tidak mahu kesalahan berlaku," katanya kepada Astro Gempak.

Mengambil iktibar daripada penyingkiran kumpulan Chilok pada minggu lalu, Tya berharap peserta MLM 2018 yang masih tinggal sentiasa memastikan persembahan mereka selepas ini tidak longgar daripada aspek bahan jenaka yang mahu disampaikan.

"Untuk persembahan akan datang, jangan sampai ada satu masa yang 'loose' kerana itu berbahaya kerana semua peserta sudah menampilkan persembahan yang terbaik.

"Peserta MLM 2018 suka buat kejutan, sukar dijangka persembahan mereka. Sama juga, saya tidak menyangka Chilok terkeluar," katanya.

Jangan lupa menonton MLM 2018 setiap Jumaat jam 9 malam menerusi Astro Warna (saluran 132), Warna HD (saluran 124), Astro GO dan On Demand.

Teks oleh: Elrafaei Sapi

Foto: Astro Gempak