Tahun 2018 menyaksikan penerimaan penonton yang amat memberangsangkan terhadap filem-filem Malaysia.

Secara keseluruhan, sebanyak 51 filem diterbitkan dengan kutipan kasar keseluruhan melebihi RM150 juta - satu jumlah yang tidak pernah dicapai sebelum ini.

Ini termasuklah 6 buah filem yang berjaya mencatat kutipan box-office melebihi RM10 juta, di mana empat daripadanya diterbitkan Astro Shaw.

Empat filem iaitu Dukun, Hantu Kak Limah, Paskal The Movie dan Polis Evo 2, masing-masing meraih sambutan luar biasa daripada penonton.

Merujuk pada kutipan filem terbabit mengikut Senarai Box Office 2018 yang dikeluarkan Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) menyatakan Hantu Kak Limah arahan Mamat Khalid berjaya meraih kutipan tertinggi sebanyak RM36,231,126.77.

Berikut senarai 5 filem tempatan yang mencatat kutipan pecah panggung tertinggi sepanjang tahun 2018:

1. Munafik 2



Mengikut maklumat daripada FINAS, kutipan filem arahan Syamsul Yusof ini adalah RM37,738,463.83. Bagaimanapun, sekuel ini sebenarnya meraih kutipan RM42 juta manakala hampir RM4 juta daripada tayangan di Singapura dan Brunei sebanyak RM1 juta.

Pengarah Urusan Skop Production, Datuk Yusof Haslam dalam temubual bersama Astro Gempak (Baca lagi: Tak Jadi 'Kudis' Munafik 2 Dikritik, Kutipan Setanding Filem Super Blockbuster Hollywood), beliau pada awalnya hanya menjangkakan kutipan sebanyak RM20 juta tetapi tidak menyangka ia mengumpul RM37 juta untuk tayangan di Malaysia saja.

Apa yang lebih membanggakan, Munafik 2 membuktikan boleh mencapai kutipan RM2 juta pada malam sebelum hari pertama tayangan mencecah lebih RM3 juta manakala pada Sabtu (dalam tempoh 3 hari) meraih RM6 juta.

Kutipan luar biasa ini setanding filem 'super mega blockbuster' Hollywood seperti Fast and Furious dan Jumanji yang mencatat kutipan tinggi hanya dalam tempoh 4 hingga 5 hari tayangan.

Kejayaan filem ini membuktikan genre seram masih mempunyai ramai peminat di negara ini dan mampu menarik perhatian khalayak ke pawagam. Filem ini menjadi penanda aras filem tempatan yang mencatat kutipan pecah panggung tertinggi setakat ini.

2. Hantu Kak Limah (HKL)



Bagi peminat genre komedi seram, buah tangan pengarah terkenal, Mamat Khalid menjadi naskhah yang dinantikan. Sekuel lakonan utama Datuk Awie, Erra Fazira, Zul Ariffin dan Ropi Cecupak ini sudah mula mencipta fenomena keterujaan penonton sebelum tayangan lagi.

Ini berdasarkan respons beberapa selebriti tanah air seperti Aziz M Osman mengakui terhibur sepanjang menyaksikan filem tersebut yang dinilai bukan saja kelakar tapi mempunyai elemen Melayu yang cukup kuat. Begitu juga, Mawi yang tidak menyangka sekuel kali ini lebih kelakar daripada filem sebelumnya.

Kelibat HKL juga menarik perhatian netizen di media sosial apabila dia membuat ramalan siapa yang bakal menjadi juara Piala Dunia 2018 sebelum ditayangkan pada 9 Ogos lalu.

Tanpa perlu banyak sub plot yang membuatkan penonton fikir jalan cerita ini, HKL diterjemahkan secara lebih 'straight forward' iaitu selepas Kak Limah dikebumikan, penduduk kampung mula memikirkan bagaimana cara untuk menghalang HKL daripada terus meracau.

Banyak faktor yang menyumbang pada tarikan filem ini selain barisan pelakon dan elemen komedi yang disampaikan mengikut gaya pengarahan Mamat sendiri. Filem ini berjaya mencatat kutipan sebanyak RM36,231,126.77.

3. PASKAL The Movie



Filem genre aksi arahan Adrian Teh ini membawa kisah anggota elit Pasukan Khas Laut (PASKAL), Tentera Laut Diraja Malaysia berjaya mencatat kutipan sebanyak RM30 juta.

Apa yang menarik perhatian penonton adalah plot filem ini diadaptasi daripada kisah benar mengenai kejayaan anggota PASKAL dalam Misi Pengaman PBB di Angola pada 1998 dan misi merampas kapal dagang MT Bunga Laurel daripada lanun Somalia di Teluk Aden pada 2011.

Filem ini dibintangi ramai pelakon berbakat besar antaranya Hairul Azreen, Gambit Saifullah, Ammar Alfian, Hafizul Kamal, Taufiq Hanafi, Theeban G, Henley Hii dan Jasmine Suraya Chin.

Pencapaian filem ini juga membuktikan filem genre kenegaraan mampu tarik minat penonton ke pawagam. Malah, dari aspek kutipan filem ini berjaya mengangkat tema kenegaraan yang paling laris dalam sejarah perfileman negara.

Astro Gempak sebelum ini menyenaraikan 5 impak besar daripada filem ini iaitu cetus minat golongan muda menyertai TLDM, digemari kerabat Diraja dan menjadi bahan mengajar di sekolah seperti mana diperkatakan Menteri Pendidikan Malaysia, Dr Maszlee Malik yang turut menonton filem ini.

Selain itu, filem ini terkesan pada penonton dengan menyentuh hati ramai pihak termasuk orang ramai dan selebriti termasuk memberi kesedaran mengenai semangat cintakan negara. Pelakon terkenal, Tan Sri Michelle Yeoh juga memuji filem ini dan ia ditonton pelakon Hong Kong, Eric Tsang.

4. Polis Evo 2



Sekuel Polis Evo 2 arahan Joel Soh dan Andre Chiew mencatat pencapaian yang begitu membanggakan dengan kutipan sebanyak RM20 juta.

Filem ini yang menerima insentif Film In Malaysian Incentives (FIMI) dari FINAS yang membuktikan impak 'cinematic tourism' dalam mempromosikan negara ke pasaran luar.

Dibintangi oleh Zizan Razak dan Shaheizy Sam selalu pelakon utama, filem ini membawa kisah bagaimana dua anggota polis iaitu Inspektor Sani dan Inspektor Khai ditugaskan melaksanakan misi pengintipan di sebuah pulau terpencil di Pantai Timur.

Nyata, gandingan Zizan dan Sam masih memberi kekuatan pada filem ini untuk menarik perhatian penonton ke pawagam.

Meskipun pengarah dan penulis skrip Polis Evo 2 tidak menyatakan inspirasi filem tersebut daripada filem lain tetapi misi menyelamatkan tebusan yang sebenar yang pernah berlaku di negara ini mungkin menjadi rujukan pada plot filem ini. (Baca lagi: Kehebatan Polis Evo 2 Di Inspirasi Daripada Kisah Benar?)

5. KL Special Force



Satu lagi filem terbitan Skop Production yang berjaya membuktikan genre filem aksi masih terus mendapat sambutan ramai penonton.

Filem arahan Syafiq Yusof ini menampilkan lebih banyak aksi mendebarkan yang membabitkan anggota polis. Membelanjakan kos pembikinan sebanyak RM2.5 juta filem ini dikatakan mampu menandingi kehebatan filem aksi Hollywood.

Menampilkan barisan pelakon yang hebat seperti Datuk Rosyam Nor, Syamsul Yusof dan Fattah Amin, filem ini berjaya meraih kutipan sebanyak RM12,216,321.00.

Dalam temubual bersama Astro Gempak sebelum ini, Datuk Yusof Haslam selaku produser menyatakan pencapaian filem ini membuktikan cerita bukan komedi tapi kisah polis yang serius boleh diterima penonton. (Baca lagi: KL Special Force Kutip RM12.1 Juta, Datuk Yusof Haslam Pesan Jangan Bermusuh Dengan Pawagam)

Meskipun filemnya menjadi isu dari aspek jumlah tayangan di pawagam, Yusof menjelaskan filem tempatan yang mendapat sambutan menggalakkan daripada penonton akan terus ditayangkan dan ditambah jumlah pawagam.

6. Dukun



Dianggap kontroversi kerana menggambarkan kisah benar satu kes pembunuhan kejam yang pernah menggemparkan negara, Dukun akhirnya menemui penonton di pawagam pada 5 April lalu.

Dijayakan pelakon handalan iaitu Datin Paduka Umie Aida sebagai pelakon utama, filem arahan Dain Said ini mencipta fenomena dalam kalangan penonton.

Menariknya, trailer filem ini yang dimuat naik di laman YouTube berjaya mencecah sejuta tontonan selepas enam hari dilancarkan. Gimik video viral #PerempuanKebayaMerah pula telah ditonton melebihi 30 juta kali.

Filem ini mencatat sejarah baru dalam perfileman tanah air dengan kutipan RM6.2 juta dalam tempoh 4 hari tayangan.

Cerita dalam filem ini bukanlah genre seram tapi supernatural thriller. Filem ini yang meraih kutipan sebanyak RM11 juta turut ditayangkan di Indonesia selepas itu.

MENGAPA ADA FILEM TEMPATAN GAGAL?

Di sebalik kejayaan 6 filem Melayu tersebut, masih ada filem tempatan yang gagal meraih kutipan di pawagam sehingga mencatat kutipan paling rendah sebanyak RM2,000 sahaja.

Persoalan timbul apakah faktor yang mendorong kepada kegagalan filem tempatan yang lain. Nama pengarah Z Lokman, Yusof Kelana dan Raja Azmi bukanlah orang baru dalam industri perfileman yang sepatutnya lebih arif dari aspek penerbitan sebuah filem.



Namun, menghasilkan filem yang bagus adalah suatu yang subjektif dan sukar dijangka. Berikut adalah 5 filem tempatan yang kurang dapat sambutan pada tahun 2018:

1. Mahaguru arahan Z Lokman (RM2,330.50)
2. Bidong The Boat People arahan Yusof Kelana (RM3,536.00)
3. Enjin No 9 arahan Raja Azmi (RM7,566.17)
4. Impermanence Life (Mandarin) arahan Lai Kim Koon (RM9,313.00)
5. Qhaliq arahan Rosli Mohd Taib (RM14,196.50)

Sepertimana kenyataan Menteri Komunikasi dan Multimedia Malaysia, Gobind Singh Deo sebelum ini, filem-filem ikonik pecah panggung seperti Munafik 2, Hantu Kak Limah, Paskal dan Polis Evo 2 membina impak penonton luar biasa di mana ia juga mengatasi kutipan filem-filem import.

Teks oleh: Elrafaei Sapi