Pengorbanan Mereka Tak Kenal Batas, Ini Senarai 5 Unsung Hero Pilihan Gempak

Gaya Hidup
Pengorbanan Mereka Tak Kenal Batas, Ini Senarai 5 Unsung Hero Pilihan Gempak
Unsung hero atau wira tak didendang merupakan golongan yang sering melakukan kebaikan untuk masyarakat tetapi kurang mendapat penghargaan.

Kadangkala, usaha keras mereka ini tidak mendapat penghargaan yang sepatutnya daripada masyarakat dan lebih teruk, pengorbanan mereka melakukan kebaikan tidak dihargai.

Namun begitu, masyarakat kini sudah mula membuka mata dan cakna dengan kehadiran golongan sebegini.

Saban hari, ada sahaja cerita mengenai pengorbanan wira tidak didendang mendapat perhatian netizen di laman sosial.

Masyarakat semakin peka dan memberikan penghargaan yang sepatutnya kepada mereka, serta menghormati pekerjaan yang mereka lakukan.

Sejujurnya, banyak pekerjaan yang layak diangkat menjadi unsung hero kerana rasa tanggungjawab mereka menjalankan tugas tanpa sebarang balasan.

Gempak memilih lima unsung hero yang dekat di hati ramai pihak dan harus diberikan penghargaan yang sewajarnya:

1. Bomba
Tugas mereka bukan sekadar memadamkan api marak, ia lebih dari itu. Mereka layak digelarkan unsung hero kerana kerjaya yang sangat mulia. Malah, ada yang terkorban nyawa demi menjalankan tugas untuk kesejahteraan bersama.

Awal Oktober lalu, enam anggota Pasukan Penyelamat Di Air maut ketika operasi mencari  dan menyelamat seorang remaja lelaki yang lemas di sebuah lombong di Taman Putra Perdana, Puchong.

Terkini, kisah Allahyarham Muhammad Adib Mohd Kassim yang meninggal dunia akibat dipukul teruk ketika melakukan tugas berkaitan insiden di Kuil Sri Maha Mariamman di USJ 25, Subang Jaya, bulan lalu menyentuh hati ramai pihak.

2. Posmen
Mungkin ada segelintir pihak yang tak bertanggungjawab memandang remeh pekerjaan mereka sebagai penghantar surat dan barangan, tetapi ia lebih daripada itu. Mereka ditugaskan untuk menyampaikan surat atau barangan dengan rasa tanggungjawab.

Meredah panasnya mentari dan basahnya hujan, siapa sangka sepucuk surat yang mengandungi amanah tak dapat dilayangkan tanpa kelibat mereka yang bergelar posmen.

Tahun lalu, seorang anggota Pos Laju yang kisahnya tular di laman sosial apabila memegang erat barangan pelanggan walaupun cedera akibat kemalangan menyentuh hati ramai pihak. Akhirnya, Mohd Nazli Mohd Idris mendapat penghargaan majikannya serta diangkat sebagai Ikon Pos Malaysia.

3. Guru
Guru atau cikgu boleh diibaratkan sebagai lilin, mereka membakar diri untuk menerangi orang lain. Itulah perumpamaan yang paling sesuai untuk menggambarkan pengorbanan mereka yang menjadi tulang belakang disebalik kejayaan setiap insan.

Layak digelar unsung hero, pengorbanan mereka tidak terjangkau. Seperti contoh, pertengahan November lalu, tular kisah seorang guru yang berjalan kaki sejauh 40 kilometer dari rumahnya di Kota Tinggi, Johor menuju ke sebuah tabika perpaduan yang terletak dalam daerah sama.

Bayangkan sahaja penat lelah yang mereka hadapi untuk menjalankan tanggungjawab demi membekalkan ilmu kepada bakal pemimpin masa hadapan. Semuanya diharungi dengan rasa penuh tanggungjawab.

4. Jururawat
Kerjaya mereka bukan hanya tertakluk kepada membantu doktor atau pakar perubatan, tetapi lebih dari yang disangka. Mereka juga bertindak melayan kerenah pesakit dengan penuh sabar serta berkorban masa dan tenaga untuk memastikan pesakit berada dalam terjaga.

Mereka terpaksa bersengkang mata, menguatkan tenaga untuk bekerja dalam shift yang panjang, adakalanya melebihi 24 jam. Hal terbabit membuatkan pengorbanan mereka harus dihargai.

Seperti contoh, awal November lalu, kisah seorang jururawat yang bernama Nur Syuhada dari bahagian Neurosurgery, Hospital Sultanah Aminah Johor Bahru, Johor menjadi sebutan.

Jururawat yang sedang dalam perjalanan pulang ke rumah itu menonjolkan sikap murninya dengan membantu mangsa kemalangan walaupun ketika itu, dia berada luar waktu pejabat.

5.Polis
Di sebalik susuk segak dan wajah yang nampak garang, karier dalam bidang kepolisan memang menuntut anggotanya berkorban demi negara dan orang ramai.

Tidak kiralah anggota polis biasa, polis trafik atau pun polis bantuan, mereka sedia memberikan khidmat tak kira masa.

Sebagai contoh, hujung November lalu, tindakan seorang anggota polis yang menggadai nyawa untuk membanteras jenayah menjadi viral di laman sosial.

Semangat perwira seorang anggota polis yang cedera dalam kejadian berbalas tembakan dengan sekumpulan perompak di sebuah pasar raya di Kuchai Lama, Kuala Lumpur menjadi bukti mereka harus diangkat menjadi hero.

Dari sudut pandang hiburan, ramai juga pengamal seni tempatan mengangkat kisah unsung hero yang telah Gempak senaraikan.

Filem-filem seperti Qhaliq (bomba), Adiwiraku (guru) serta terbaru, Polis Evo 2 (polis) menceritakan serba sedikit kisah mereka sebagai wira yang tidak didendang.

Diharap filem-filem seperti ini dihasilkan dengan lebih kerap supaya ia dapat memberi informasi serta kesedaran kepada semua pihak mengenai pengorbanan mereka yang tidak kenal batas.

Jadi, selepas ini, jika anda bertemu dengan mereka yang digelar wira tak didendang, apa kata anda ukirkan senyuman ikhlas tanda terima kasih.

Ia sedikit sebanyak dapat menceriakan hari mereka yang banyak berjasa tanpa kita sedari.

Artikel Berkaitan