Ibu kepada anggota bomba, Muhammad Adib Mohd Kassim, Asma Aziz, 51, akui tidak dapat memaafkan apa yang telah dilakukan kepada anaknya yang maut akibat rusuhan di Kuil Sri Maha Mariamman di Subang Jaya, bulan lalu.

Asma berkata, besar harapannya sebagai seorang ibu untuk melihat individu tidak bertanggungjawab itu diheret ke muka pengadilan sebagai pembelaan terhadap kematian anaknya itu.

Apabila waktu itu tiba nanti, Asma berkata, dirinya sendiri mahu melihat sendiri wajah individu yang tergamak meragut nyawa Muhammad Adib ketika anaknya itu sedang bertugas untuk negara.

“Saya nak tengok muka orang yang sanggup buat macam itu... sampai bunuh anak saya.

“Tidak boleh dimaafkan, saya nak mereka sama rasa kesakitan yang Adib tanggung,” katanya.

Muhammad Adib yang parah dipukul ketika insiden rusuhan, disahkan meninggal dunia pada 9.41 malam, di Institut Jantung Negara (IJN), kelmarin.

Pada masa sama, Asma berkata pihaknya menghargai keprihatinan ramai pihak khususnya di media sosial yang mahu kematian anaknya itu turut dibela ke muka pengadilan.

Sumber: Harian Metro