Penyanyi Lan Solo akan kembali semula bersama dengan bekas anggota asal kumpulan Kristal dalam persembahan Lan Solo Next Level Showcase.

Menurut Lan, dia mahu mengimbau kenangan yang pernah dilalui selama 20 tahun bersama Kristal dalam showcase tersebut.

“Alhamdulillah, selepas 20 tahun berada dalam industri muzik saya dapat mengadakan showcase ini sebagai hadiah kepada para peminat.

“Bagi saya, setiap penyanyi sudah pasti ada cita-cita yang besar untuk mengadakan showcase dan itu adalah hala tuju yang saya harapkan selama ini.

“Saya akan kembali bersama semula dengan anggota asal kumpulan Kristal pada showcase ini dan ia merupakan sesuatu yang istimewa bagi saya.

“Antara anggota asal yang akan bersama saya ialah Ainol, Ezal, Joe, Ejan dan Amai. Saya juga akan menjemput beberapa artis undangan lain yang pernah berduet sebelum ini pada showcase terbabit,” katanya kepada Gempak.

Lan berkata demikian ketika ditemui pada majlis sidang media Lan Solo Next Level Showcase di Sari Ratu Prima, Subang Jaya, pada Rabu.

Lan Solo Next Level Showcase akan diadakan pada 2 Mac 2019 di Malaysia Tourism Centre (MaTiC), Kuala Lumpur.

Orang ramai yang mahu menyaksikan showcase ini boleh mendapatkan tiket yang mula dijual pada harga RM 88 hingga RM 149 di talian 01116996610 dan ikuti Facebook Lan Solo untuk maklumat lanjut.