Pelawak dan penyampai radio Era, Danial meluahkan rasa syukur apabila single pertama nyanyiannya, Siti Bilang Cuti menerima sambutan luar biasa daripada orang ramai.

Menurut Danial, dia tidak terkesan apabila ada juga pihak yang menganggap lagu nyanyiannya itu sebagai lagu kampung.

"Alhamdulillah, saya bersyukur kerana lagu ini mendapat sambutan luar biasa daripada orang ramai.

"Namun ada juga yang kata lagu ini macam lagu kampung, tapi bagi saya muzik ini sebenarnya luas dan penerimaan setiap orang itu adalah berbeza.

"Ada suka genre macam ini ada juga suka genre lain tapi bagi saya dalam lagu Siti Bilang Cuti ini adalah lagu yang dekat dengan hati pendengar.

"Bagi saya perkara itu bukannya masalah besar pun kerana lagu kampung pun trending no.1 di YouTube," katanya secara berseloroh.

Dimuat naik pada 13 Disember lalu, Siti Bilang Cuti telah mencecah lebih sejuta tontonan dan berada di kedudukan pertama carta trending YouTube.

Siti Bilang Cuti merupakan lagu ciptaan penyanyi Harry Khalifah dan lirik oleh Peter Parker daripada DATU Entertainment.