Penyingkiran peserta Maharaja Lawak Mega 2018 (MLM 2018) iaitu Dany Beler pada minggu ketujuh lalu seperti sudah dijangka kerana hanya dia saja peserta solo yang masih tinggal.

Ketua Juri, Douglas Lim berkata, Dany selalu berdepan halangan dalam membuat persembahan secara solo di pentas MLM 2018.

"Susah sebab dia tiada peminat di sini lagipun dia buat 'stand up' seorang diri. Dia punya pemerhatian mungkin lain daripada apa yang kita harapkan," katanya kepada Astro Gempak.



Jelasnya, Dany masih belum dapat menyesuaikan lawaknya dalam program ini.

"Dia perlu membuat tekaan yang tepat apakah pandangan orang luar terhadapnya.

"Dany belum dapat cari lagi apa yang orang fikir padanya. Dia tak boleh baca apa yang penonton nak," katanya.

Mengambil pengajaran daripada persembahan Dany, Douglas juga menyatakan kebimbangan pada nasib kumpulan Puteh yang dinilai berada dalam zon bahaya.

"Saya juga rasa persembahan kumpulan Taman macam perlahan skit. Saya risau sebab saya ada harapan yang tinggi pada mereka," katanya.



Jangan lupa menonton MLM 2018 setiap Jumaat jam 9 malam menerusi Astro Warna (saluran 132), Warna HD (saluran 124), Astro GO dan On Demand.

Teks oleh: Elrafaei Sapi

Foto: Astro Gempak