Penyanyi nombor satu negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza akan kembali mengadakan konsert tour di Royal Albert Hall, London pada 22 April 2019.

Teruja berkongsi khabar gembira buat peminatnya, kata Siti, 39, konsert tour itu merupakan comeback selepas kali terakhir mengadakan Konsert Unplugged Siti Nurhaliza di Istana Budaya pada 2015.

“Saya teruja untuk kembali semula ke London dengan memori dan pasukan yang hebat.

“Saya juga bersemangat untuk mengadakan konsert di pentas besar,” katanya kepada Gempak.

Bagaimanapun, Siti dan penganjur Shiraz Projects masih mengalu-alukan mana-mana pihak untuk memberikan tajaan.



Siti sebelum ini pernah mengadakan konsert Siti Nurhaliza Live In Royal Albert Hall, London pada 1 April 2005.

Sementara itu, Konsert Dato Sri Siti Nurhaliza On Tour ini bakal bermula pada 21 Februari 2019 di Istora Senayan, Jakarta, Indonesia dan kemudian ke lokasi seterusnya di Singapore Expo, Singapura pada 21 Mac 2019.

Manakala peminat di Malaysia boleh menyaksikan konsert itu di Arena Axiata, Kuala Lumpur pada 16 Mac 2019.

Konsert itu juga akan menampilkan beberapa segmen iaitu etnik/tradisional, balada, carta unggul dan unplugged di mana semua muzik dihasilkan dan diaturkan semula oleh pemuzik Aubrey Suwito bersama band All-Star.

Selain itu, penyanyi Indonesia terkenal iaitu Tulus menjadi artis jemputan yang bakal membawakan lagu-lagu hits dan berkemungkinan penonton juga akan menyaksikan persembahan lagu duet bersama Siti sebelum lagu itu dilancarkan.

Malah, sebuah filem dokumentari mengisahkan perjalanan belakang tabir sepanjang konsert jelajah ini berlangsung bertajuk They Call Me Siti bakal dilancarkan di layar lebar pada hujung tahun hadapan.

Tiket berharga RM105, RM155, RM255, RM355, RM495 dan RM1295 (meet & greet) boleh didapati menerusi www.mytickets.asia bermula 26 Disember depan.