Pelakon Sherry Ibrahim mengakui terpaksa menahan sakit ketika membuat persembahan di konsert separuh akhir Gempak Superstar.

Sherry mengalami kecederaan di bahagian kiri tangannya dan mengakibatkan anggota badannya itu terseliuh serta bengkak.

"Tangan saya terseliuh dan memang tak dinafikan waktu buat persembahan tu, saya tengah tahan sakit.

"Tapi nak buat macam mana, persembahan tetap kena teruskan dan ini adalah pertandingan.

"Tak kisahlah tangan terseliuh atau bengkak, saya cuma fikir mahu membuat persembahan yang terbaik," katanya.

Sherry ditemui ketika sidang media konsert separuh akhir Gempak Superstar bertempat di Pinewood, Johor Bahru pada malam Ahad.

Mengulas mengenai persembahannya yang kelihatan sedikit kelam-kabut, Sherry memberitahu terpulang kepada penonton untuk menilai.

"Pertama, lagu bukan kita (peserta yang pilih)...Tetapi bila kita pilih lagu tak semestinya lagu yang kita nak itu kita akan dapat.

"Kedua, untuk blendkan lagu yang dah dapat dengan lakonan, nyanyian dan juga lirik itu bukanlah satu perkara yang mudah.

"Lebih-lebih lagi dalam waktu yang singkat. Setiap lagu mempunyai jalan cerita yang berbeza, kalau nak fokus pada vokal nanti tak adil pula untuk ‘part’ lakonan.

"Jadi, bergantung kepada penonton untuk melihat persembahan itu dari sudut mana," jelasnya.

Dalam pada itu, bercakap mengenai saingan terdekat dalam program tersebut, aktres berusia 33 tahun ini memberitahu kesemua peserta mempunyai kekuatan yang tersendiri.

"Saya pun tak jangka dapat masuk ke final kerana undian saya turun naik.

"Semua peserta adalah saingan saya dan mereka semunya mempunyai kekuatan yang tersendiri.

"Dapat masuk final Gempak Superstar ni pun saya dah rasa syukur sangat," ujarnya.

Konsert separuh akhir Gempak Superstar menyaksikan tiada penyingkiran dilakukan.

Kesemua lima peserta iaitu Elizad, Sherry, Nazim, Soffi Jikan dan Arja Lee mara ke final.

Elizad merupakan peserta dengan undian tertinggi sebanyak 55 peratus manakala undian terendah pula adalah Arja Lee sebanyak 43 peratus.

Jangan lupa untuk menyaksikan Gempak Superstar setiap hari Ahad, jam 9.00 malam di saluran Astro Ria (104) dan Astro Ria HD (123).

Layari www.gempaksuperstar.com.my dan gunakan hashtag #GempakSuperstar untuk berinteraksi mengenai program ini di laman sosial.