Bekas peserta Akademi Fantasia musim ketujuh, Zizi mengakui tidak malu untuk kembali menyertai program realiti nyanyian terbaru, Dangdut Star.

Menurut Zizi atau nama sebenarnya Nur Fazelah Mohd Tahil, dia mahu peminat muzik tempatan mengenali dirinya sebagai salah seorang yang versatil.

“Rasanya tidak salah jika saya kembali menyertai program realiti nyanyian. Sebenarnya saya turut meminati genre Dangdut, jadi bila diberi peluang untuk menyertai Dangdut Star ia satu bonus untuk saya mengembangkan lagi karier nyanyian,” kata Zizi kepada Astro Gempak.

Menurut Zizi, peryertaan dalam Dangdut Star tidak bermaksud dia penyanyi yang tidak berpendirian.

“Memang sebelum ini saya dikenali dengan muzik R&B dan Hip Hop ketika bersama The Fabolous Cats. Tidak bermakna apabila berada dalam program Dangdut Star saya masih tercari-cari identiti sebenar saya sebagai seorang penyanyi. Tidak salah untuk saya mencuba sesuatu yang baru," ujarnya.

Katanya lagi, kemunculan di Dangdut Star secara tidak langsung memberi peluang untuk menyesuaikan dirinya dengan genre Dangdut.

“Penglibatan saya dalam program ini turut memberi kelebihan untuk saya mempelajari genre Dangdut dengan lebih mendalam. Lebih-lebih lagi ada di antara para peserta yang memang mempunyai pengalaman luas dengan muzik universal seperti ini,” katanya.

Dalam pada itu, Zizi menjelaskan sudah bersedia untuk membawakan kelainan walaupun masih terlalu baru dengan genre Dangdut.

“Insya-Allah saya cuba untuk berikan persembahan yang terbaik walaupun menyedari terpaksa bersaing dengan barisan peserta yang sangat hebat dan mempunyai kelebihan yang tersendiri dalam Dangdut Star,” katanya.

Selain Zizi, Dangdut Star turut menampilkan Felix, Rojer (Mohd Rozaidy Shukry, Johor), Fitri (Fitri Hiswady, Perak), Jiwa (Muhd Firdaus, Pahang), Zarith (Zarith Shuhada, Johor), Wanie (Azmahirwani Nordin, Kelantan), Elda (Elda Susanty, Johor) dan Fiesha (Norerinafisha, Kedah).

Penulis lirik terkenal, Suhaimi Mohd Zain atau Pak Ngah dan penyanyi dangdut terkenal tanah air, Mas idayu diberi kepercayaan untuk menjadi juri tetap dan menilai persembahan para peserta berdasarkan kriteria yang telah ditetapkan.

Program Dangdut Star dihoskan oleh pelawak Tauke Jambu dan trio De Fam bersiaran pada setiap hari Rabu, jam 9 malam di saluran Astro Prima (105) dan Maya HD (135).