Pelakon cantik, Nur Fathia Abdul Latiff tidak menjangkakan dia dapat merangkul trofi bagi kategori Pelakon Filem Wanita Popular bagi Anugerah Bintang Popular Berita Harian 29 (ABPBH 29) yang berlangsung pada Ahad lalu.

“Alhamdulillah, saya sangat bersyukur atas rezeki yang diberikan. Sejujurnya, saya langsung tidak menjangkakan kemenangan ini. Saya mengakui yang saya mempunyai lebih banyak produk di kaca televisyen berbanding filem.

“Jika menang pun, saya rasa mungkin dalam kategori Pelakon TV Wanita Popular, tetapi mungkin ini sudah rezeki saya. Saya menghadirkan diri di malam kemuncak ABPBH 29 ini pun kerana mahu menunjukkan sokongan terhadap acara ini dan tidak sangka pula saya yang bertuah malam ini,” kata Fathia kepada Astro Gempak.

Ketika ditanya adakah anugerah yang diterima adalah kerana imej barunya yang kini mengenakan hijab, Fathia menafikan perkara tersebut.

“Saya rasa bukan kerana hijab. Anugerah yang diterima adalah rezeki kurniaan Allah. Bagi saya, when you chase Allah, the world will chase you. Berada dalam bidang lakonan, saya tidak pernah mengharapkan apa-apa anugerah dan ikhlas dalam menjayakan setiap watak yang saya jayakan,” katanya.

Tampil lebih anggun dengan imej terbaru, pelakon drama bersiri Plan Cinta Tak Jadi ini berterima kasih kepada peminat yang mendoakan dirinya untuk berhijab.

“Sebelum saya berhijab, ramai orang yang mendoakan saya agar segera memakai tudung. Namun begitu, saya tidak mahu berubah atas suruhan orang lain. Perubahan yang berlaku kini datang dalam diri saya sendiri dan semuanya kerana Allah. Namun begitu, saya amat berterima kasih kepada peminat yang tidak putus-putus mendoakan kebaikan saya sebelum ini,” katanya lagi.

Dalam perkembangan terbaru, Fathia bakal ke Mekah pada 15 Mei ini untuk menjalani penggambaran telefilem terbaru terbitan Zeel Production yang berjudul Tiang Nombor 9 bersama Noorkumalasari.