Pengacara HLive dan pelakon, Adriana Adnan, 23, mendedahkan dia mengenali tunangnya, Harez Hazim Hazrin, 27, melalui kawan baiknya, Yaya Zahir.

Menurut Adriana, Harez menepati karakter lelaki pilihan hatinya.

"Harez merupakan kawan Yaya sejak kecil lagi, dari situ bermula perkenalan saya dengan Harez.

"Hampir dua tahun tempoh perkenalan kami dan alhamdulillah saya berasa selesa dengan dia.

"Dia memahami karier saya serta sentiasa menyokong segala yang dilakukan oleh saya," katanya.

Tambah pelakon Suri Hati Mr Pilot itu berkata mengikut perancangan dia akan menamatkan zaman bujang pada tahun depan.

"Saya akan menamatkan pengajian saya terlebih dahulu dalam bidang perakaunan peringkat sarjana ijazah muda yang dijangka berakhir sebulan sebelum tarikh saya berkahwin.

"Insya-Allah kami akan dinikahkan pada 31 Ogos tahun depan. Doakan lah untuk kami semoga segalanya dipermudahkan," katanya kepada Gempak.

Adriana dan Harez selamat melangsungkan pertunangan di kediaman keluarganya di Bukit Segambut, Sabtu lalu.