Sememangnya kecoh di sosial media apabila ada segelintir netizen mengutuk sekumpulan artis dengan gelaran 'Bangsa Final' yang memberi maksud mereka ini hanya datang menyokong apabila Malaysia berjaya memasuki final. [Baca: Dituduh Bangsa Final, Ini Jawapan Win Ummi Nazeera]



Lebih teruk lagi ada yang menuduh mereka mendapat layanan istimewa dengan mendapat tiket percuma daripada orang berpengaruh tanpa perlu bersusah payah seperti orang lain yang terpaksa beratur panjang dan juga jenuh mencuba secara online.



Malah ada pula yang menghina kononnya golongan selebriti ini perasan glamor apabila memakai penutup mulut supaya mereka tidak dikenali dan tidak diganggu ketika menonton bola. [Baca: Diana Danielle bengang dituduh sesuka hati]



Saya pun tidak faham apa yang menjadi masalah sebenarnya. Segelintir netizen ini seolah-olah menidakkan bahawa kelompok selebriti ini juga adalah rakyat Malaysia dan penyokong pasukan bolasepak Malaysia.



Tentulah perasaan ghairah dan bangga bukan sahaja pada selebriti, tetapi seluruh rakyat Malaysia apabila kita berjaya ke peringkat akhir, apatah lagi mengalahkan nama besar di peringkat Asia Tenggara seperti Thailand. Ramai selebriti yang turun padang untuk memberikan sokongan dengan pelbagai cara. Ada yang menyewa bas dan ada yang membonceng motosikal! [Baca: Fasha Sandha Merempit]



Saya melihat kehadiran mereka di stadium adalah satu sikap positif kerana apa yang mereka lakukan turut menjadi contoh kepada peminat-peminat mereka. Tidak kisahlah kalau mereka datang di peringkat grouping, separuh akhir atau hanya pada peringkat akhir. Yang penting, sokongan mereka, seperti juga sokongan anda terhadap pasukan Malaysia.



Tidak terkejut apabila sekarang pelbagai 'bangsa' diwujudkan untuk meletakkan penyokong Malaysia dalam pelbagai kategori. Ada 'Bangsa Bola', 'Bangsa TV', 'Bangsa Mamak' dan 'Bangsa Final'. Tidak mustahil ada beberapa kategori 'bangsa' lagi yang dibuat seperti penonton bola ini mempunyai kasta tersendiri. [Baca: Final Piala AFF Empat Bangsa]



Sebenarnya kita tak perlu ikut sangat dengan perasaan. Dalam keadaan sekarang, kita sepatutnya bersatu dalam memberikan sokongan kepada pasukan negara kita. Apatah lagi perlawanan malam esok adalah di tempat lawan.



Jangan jadikan sikap dengki sesama sendiri memakan diri. Apa yang perlu adalah sokongan padu. Itu yang kita mahu. Jadi ayuh, kita semua tidak perlukan kasta dalam menjadi penyokong pasukan Malaysia. Kita bersatu atas satu bangsa, iaitu Bangsa Malaysia!

Jumpa lagi!

Bila Badrul Bicara