Pelakon cilik, Qistina Raisah, 10, tidak menggunakan wang pendapatan yang diraih menerusi bidang lakonan untuk membeli barangan berjenama.

"Barang paling mahal pernah saya beli menggunakan duit lakonan adalah telefon pintar. Selebihnya, wang hasil lakonan disimpan untuk masa hadapan.

"Keluarga saya sendiri tak suka membazir beli barangan berjenama. Duit hasil lakonan memang terus dimasukkan ke dalam akaun simpanan.

"Tetapi bila saya ada sasaran untuk membeli sesuatu, ibu saya akan mengasingkan wang untuk membeli barangan terbabit. Selalunya, saya teringin membeli barang mainan," kata Qistina.

Menjadikan aktres Siti Elizad sebagai idolanya dalam bidang lakonan, Qistina memanggil Elizad dengan gelaran Mommy Ijad.

Qistina dan Elizad pernah bergandingan dalam drama bersiri Papa Ricky serta Syurga Yang Kedua.

"Saya suka Mommy Ijad kerana lakonannya sangat hebat. Mommy Ijad pun selalu ajar saya cara untuk berlakon. Saya mahu jadi pelakon berbakat seperti Mommy Ijad.

"Selain itu, saya juga sukakan Neelofa. Saya berharap apabila saya dewasa kelak, saya akan berjaya seperti Neelofa, Insya-Allah," katanya.

Mula melibatkan diri dalam bidang lakonan semenjak berusia 4 tahun, pemilik Nur Qistina Raisah Mohd Kamarolazari ini mahu mengembangkan bakatnya dalam bidang lakonan sebagai satu kerjaya serius.

"Saya memang minat bidang lakonan dan apabila besar nanti, saya mahu teruskan karier dalam bidang ini. Dalam masa yang sama, selain berjaya dalam lakonan, saya juga menanam impian untuk membuka kedai kek," katanya lagi.