Penyanyi dan juara pertandingan Gegar Vaganza musim keempat (GV4), Aishah telah berjaya menurunkan berat badan sebanyak 26 kilogram selepas menjalani prosedur pintasan saluran pemakanan atau pembedahan Bariatrik pada Mac lalu.

Menurut Aishah, dia tidak boleh makan dalam kuantiti yang banyak kerana mudah berasa kenyang selepas menjalani pembedahan itu.

"Selalunya saya akan makan dalam kuantiti yang sedikit sebab saya cepat berasa kenyang, jadi saya memang tak boleh makan macam dulu.

"Itulah sebab utama berat badan saya turun, saya memang tak mengamalkan diet yang ketat, saya dah turun lebih kurang 26 kilogram, baju-baju saya pun sudah dikecilkan sebanyak 10 inci.

"Misi saya sekarang adalah untuk turunkan lagi 16 kilogram untuk mencapai berat badan yang ideal," ujar Aishah.

Aishah berkata demikian ketika ditemui di Majlis Pelancaran Lagu dan Muzik Video Rasmi terbarunya yang berjudul Malar bertempat di Red Box Karaoke, The Gardens pada petang semalam.

Single ini mengisahkan tentang perjalanan kehidupannya yang diharungi bersama suami, anak-anak dan peminat, ia boleh didapati di semua platform digital muzik seperti itunes, Joox, Spotify dan Deezer.