Selepas minggu pertama, sekali lagi program Maharaja Lawak Mega 2018 (MLM 2018) membuat kejutan apabila tiada penyingkiran dilakukan.

Pelakon jelita, Scha Alyahya yang juga juri tetap MLM 2018 menyatakan pihak juri tidak dimaklumkan sama ada ada penyingkiran atau tidak pada setiap minggu.

"Setiap minggu macam itu dan saya sangat-sangat terkejut bila kumpulan Masin yang terkeluar sebab mereka menunjukkan peningkatan setiap minggu ke minggu dari aspek keserasian, 'energy', intipati dan sebagainya.

"Bila diumumkan Masin terkeluar, saya terkejut mesti tiada penyingkiran," katanya kepada Astro Gempak.

Ujarnya, dia melihat Masin antara peserta yang 'underdog' yang makin lama, makin kukuh dan makin kuat.

"Cuma persembahan mereka pada kali ini kurang nilai hiburan saja selain daripada itu yang lepas-lepas yang memang bagus," katanya.

Tiga peserta menduduki tempat terendah pada minggu keenam selain Masin iaitu Puteh dan Dany Beler.

Bagaimanapun, Scha berpandangan Dany sebagai peserta paling berisiko kerana selalu berada di kedudukan terendah.

"Dia bukan kelemahan tapi Dany adalah pelawak 'stand up', tiada kawan untuk 'battle', semua terpulang pada diri sendiri untuk buat lawak dan tiada orang lain tolong dia.

"Apapun, saya kagum dia masih bertahan sehingga ke minggu keenam. Jadi, ada sesuatu dalam dirinya yang buat penonton suka dan juri percaya kewujudannya dalam MLM 2018," katanya.

Sebagai nasihat, Scha berharap Dany agar lebih lebih kreatif pada persembahan akan datang.

"Mungkin tukar dialek dari aspek penyampaian 'acting' menjadi orang lain, tukar suara atau postur badan.

"Cerita dia pada setiap minggu adalah mengenainya dan dia bercerita, apa kata dia berlakon pula," katanya.

Ditanya elemen komedi yang digunakan peserta untuk menarik perhatian penonton, Scha melihat ia sebagai taktik peserta itu sendiri.

"Mungkin mereka nak nilai tambah di sini adalah sorakan daripada penonton. Mereka cuba kaitkan dengan isu semasa tapi tidak elevan dengan lawak yang mereka sampaikan.

"Mungkin taktik untuk mereka dapat semangat di auditorium," katanya.

Jangan lupa menonton MLM 2018 setiap Jumaat jam 9 malam menerusi Astro Warna (saluran 132), Warna HD (saluran 124), Astro GO dan On Demand.

Teks oleh: Elrafaei Sapi

Foto: Astro Gempak