Kepada ribuan penyokong Harimau Malaya kecewa tidak dapat membeli tiket perlawanan akhir Piala AFF Suzuki 2018 antara pasukan kebangsaan negara dengan Vietnam, anda masih boleh ke stadium dan menonton secara percuma!

Tetapi maaf, bukan Stadium Nasional Bukit Jalil kerana kita sedia maklum bahawa semua 80,000 tiket telah habis terjual waima yang di atas talian mahupun secara fizikal di kaunter tiket.

Terima kasih kepada Kementerian Belia dan Sukan dengan kerjasama Perbadanan Stadium Malaysia (PSM), gegak gempita dari dalam lokasi perlawanan tetap dapat dirasai apabila perlawanan yang ditunggu-tunggu akan disiarkan secara langsung di stadium tertutup Axiata Arena.

“Saya turut bersimpati kepada semua yang tidak dapat membeli tiket untuk perlawanan Akhir Piala Suzuki AFF selepas beratur sekian lama."

“Sementara kita menyiasat dan mencari jalan penyelesaian jangka masa panjang bersama FAM, pihak KBS dan Perbadanan Stadium Malaysia (PSM) akan membuka Axiata Arena di sebelah Stadium Bukit Jalil untuk live screening buat rakyat Malaysia,” memetik kapsyen gambar yang dimuat naik Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman di Instagram.

Saya turut bersimpati kepada semua yang tidak dapat membeli tiket untuk perlawanan Akhir Piala Suzuki AFF selepas beratur sekian lama. Perkara seperti ini tidak sepatutnya berlaku. Pihak KBS bersedia untuk membantu FAM untuk memastikan insiden seperti ini tidak berulang. Sementara kita menyiasat dan mencari jalan penyelesaian jangka masa panjang bersama FAM, pihak KBS dan Perbadanan Stadium Malaysia (PSM) akan membuka Axiata Arena di sebelah Stadium Bukit Jalil untuk 'live screening' buat rakyat Malaysia. Saya ingin mengajak rakyat Malaysia beramai-ramai ke Axiata Arena bagi memberi sokongan kepada Harimau Malaya! #AyuhMalaysiaKu

A post shared by Syed Saddiq (@syedsaddiq) on


Beliau pada masa sama turut memaklumkan bahawa pihaknya sedia membantu Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) untuk menjari jalan penyelesaian kepada isu sistem penjualan tiket yang sejak sekian lama menjadi rungutan peminat bola sepak negara.

Kemasukan ke Axiata Arena pada hari perlawanan pada Selasa ini adalah percuma, namun anda dinasihatkan untuk datang awal kerana tempat terhad kepada 15,000 penyokong sahaja.

Sepak mula perlawanan akhir pertama Piala AFF Suzuki 2018 antara Malaysia dengan Vietnam adalah pada jam 8.45 malam.

Sementara perlawanan timbal balik di Hanoi akan berlangsung pada 15 Disember bagi memuktamadkan milik siapa gelaran Raja Asia Tenggara bagi edisi kali ini.

Sumber: Astro Awani