Jika sebelum ini Nora Danish menjadi penyeri filem Polis Evo namun untuk sekuelnya pula, Polis Evo 2 menampilkan aktres Indonesia Raline Shah.

Sebaik sahaja mengetahui perkhabaran Raline bakal menyertai skuad Polis Evo 2, rata-rata penonton memberikan reaksi positif dan tidak sabar untuk melihat pelakon itu beraksi.

Tidak dinafikan, watak dan juga lakonan kedua-dua pelakon cantik ini mempunyai kekuatan tersendiri.

Anis (Nora Danish) merupakan seorang wanita yang lemah lembut manakala Rian (Raline Shah) adalah seorang wanita lasak dan tegas.

Di sini kami senaraikan perbezaan Gadis Evo, Nora Danish dan Raline Shah:


Loghat Terengganu



Memegang watak seorang gadis kelahiran Terengganu dan adik kepada Inspektor Sani (Zizan Razak), Nora akui sukar untuk bertutur dalam dialek Terengganu. Nora juga terpaksa mengulang setiap babak sehingga tujuh kali supaya untuk memastikan setiap perkataan atau ayat yang disampaikan itu benar-benar memberikan kesan.

Namun pujian harus diberikan kepada Nora atas usahanya itu kerana berjaya melakonkan watak Anis dan tidak kelihatan kekok apabila bertutur dalam loghat Terengganu.

Berbeza dengan Nora, watak Raline tidak memerlukan dirinya untuk bertutur dalam loghat Terengganu.

Bagaimanapun Raline akui pada mulanya sedikit sukar tetapi lama-kelamaan dia boleh memahami sedikit sebanyak ayat yang dituturkan oleh Zizan ketika menggunakan loghat tersebut.


Gadis lemah-lembut vs gadis lasak



Jika Polis Evo pertama memperlihatkan Anis iaitu adik kepada Inspektor Sani, seorang wanita yang lemah-lembut dengan mengekalkan imej polos dan gadis desa namun lain pula dengan sekuelnya.

Rian, merupakan anggota pasukan tindakan khas melambangkan seorang wanita lasak yang tegas dan tangkas ketika menjalankan tugasan yang diberikan.


Watak itu juga menuntut Raline untuk melakukan banyak babak aksi dan lasak selain perlu menunjukkan ekspresi serta penampilan yang begitu menyakinkan sebagai seorang anggota tindakan khas.

Raline juga perlu menaikkan berat badan dan memasuki kelas seni mempertahankan diri untuk menjayakan watak Rian.


Elemen kekeluargaan vs persahabatan


Polis Evo lebih mengetengahkan elemen kekeluargaan seperti keakraban hubungan Anis dan abangnya yang sering menjadi mangsa usikan Inspektor Sani.

Selain itu, antara babak yang meruntun hati penonton adalah apabila melihat reaksi Anis yang panik, dan tidak tentu arah sebaik sahaja mengetahui abang kesayangannya berada dalam bahaya semata-mata untuk menyelamatkan dirinya.



Manakala Polis Evo 2 pula lebih memaparkan tentang nilai-nilai persahabatan. Ini ditunjukkan menerusi watak Raline, Sam dan Zizan (Inspektor Khai).

Walaupun perkenalan Khai dan Rian singkat namun Rian mengambil keputusan untuk membantu Inspektor Khai menyelamatkan sahabat baiknya, Inspektor Sani dan juga mangsa-mangsa tahanan Saif.

Rian juga tidak mempedulikan kecederaan yang dialami demi memastikan keselamatan rakan sepasukannya.

Filem arahan Joel Soh serta Andre Chiew ini menampilkan Shaheizy Sam, Zizan Razak, Raline Shah, Hasnul Rahmat, Erra Fazira, Soffi Jikan, Syafie Naswip dan Hairul Azreen.

Polis Evo 2 terbitan Astro Shaw, Surya Citra Media (SCM) dan produksi oleh BlackFlag ini boleh ditonton di 146 pawagam seluruh Malaysia dan Brunei.

Apa tunggu lagi, dapatkan tiket anda sekarang dan sama-sama saksikan pertempuran Polis Evo 2 di pawagam!

Jaga-jaga boh!